'Macam nak luruh jantung dibuatnya...'

Sazana
Sazana
A
A
A

GERIK - Pengalaman menyambut Hari Guru mungkin berbeza untuk setiap guru tetapi mereka ada saat manis dan pahit untuk dikenang setiap tahun.

Begitu juga dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar, Suzana Aman yang berkongsi kisahnya diganggu gajah liar yang memasuki kawasan sekolah dan kuarters guru itu, semalam.

"Macam nak luruh jantung dibuatnya, inilah pengalaman Hari Guru paling mendebarkan buat saya," kata guru berusia 54 tahun itu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika beliau melakukan tugasan sendirian di kuarters berkenaan.

"Saya dengar bunyi seperti gesekan dan apabila diintai nampak satu kelibat besar sedang melintasi tingkap rumah ini," katanya yang terus bertindak menutup semua lampu untuk keselamatan dan bagi mengelakkan haiwan itu bertindak ganas.

Keadaan pagar sekolah yang rosak. (Kanan: Kelibat seekor gajah yang sempat dirakam Sazana ketika masuk ke kawasan sekolah dan kuarters guru. )
Keadaan pagar sekolah yang rosak. (Kanan: Kelibat seekor gajah yang sempat dirakam Sazana ketika masuk ke kawasan sekolah dan kuarters guru. )

Katanya gajah itu berlegar-legar mengelilingi rumahnya lebih satu jam dan beliau menghubungi beberapa staf sekolah untuk meminta bantuan.

"Mereka menasihatkan saya berdiam diri sahaja di dalam rumah dan jangan sesekali keluar.

Artikel Berkaitan:

"Hanya selepas 1 jam 30 minit, saya dimaklumkan gajah itu telah beredar dan keadaan sudah selamat, saya segera keluar dan menumpang tidur di kuarters lain," katanya.

Sazana yang baru bertukar ke sekolah itu lapan bulan lalu mengakui banyak menerima aduan berhubung gangguan gajah tetapi itu merupakan pengalaman pertamanya berdepan sendiri dengan haiwan itu.

"Duduk bergelap sendirian, menyorok di sebalik langsir sambil dalam hati berdebar tak henti.

Pokok dan tanaman di sekolah musnah dirosakkan gajah liar yang mencerobohmasuk.
Pokok dan tanaman di sekolah musnah dirosakkan gajah liar yang mencerobohmasuk.

"Walaupun masih takut tetapi tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk berkhidmat di sekolah ini, saya anggap ini pengalaman baru sempena Hari Guru hari ini," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh dikatakan setiap hari kawanan gajah masuk ke kawasan sekolah dan merosakkan pokok serta tanaman di situ.

"Pagar telah beberapa kali rosak, pokok-pokok pun habis dijadikan makanan, saya telah maklumkan perkara ini kepada wakil rakyat dan ia sudah pun dalam tindakan pihak berkuasa," katanya.