X

Kindly register in order to view this article
!

'Duit dalam poket cuma tinggal RM30...'

Abd Halim (kanan) ketika menziarahi keluarga Suddin di rumahnya di Kampung Hilir Pasir Pekan semalam.
A
A

TUMPAT - Tiada siapa yang tahu, duit poket hanya tinggal RM30 dan dengan duit itulah seorang bapa berjimat cermat menyara diri bersama anak dan juga ibunya di sini.

Itulah luahan Suddin Harun, 58, seorang penebang pokok apabila duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 berbaki RM30, selepas membayar sewa rumah RM250 dan sedikit belanja untuk ibunya sedang uzur serta seorang anak masih bersekolah.

Suddin berkata, sebelum ini dia tidak begitu terkesan dengan perbelanjaan harian kerana tenaga lelakinya masih gagah memanjat, mengambil upah menebang pokok.

Namun sekarang, dia tidak lagi boleh memanjat dari satu pokok ke satu pokok sehebat seperti ‘Spiderman’ kerana tulang bahunya sudah patah akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

“Saya tidak pernah mengadu. Duit hanya ada RM30, apa yang boleh saya buat guna sebaik mungkin supaya kami tiga beranak tidak berlapar. Saya fikir ada yang lagi susah dari kami,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini semalam.

Terdahulu dia menerima sumbangan makanan daripada Group Gatih Amal (GGA) yang disampaikan oleh Pengerusinya, Sarjan Major Abd Halim Shafai yang juga Ketua Polis Balai Wakaf Bharu.

Suddin juga memberitahu, jika sebelum ini dia pernah mendapat upah sekitar RM10 hingga RM100 sehari dan itu sangat membantunya menguruskan keperluan ibunya, Rogayah Ibrahim, 80, yang sakit lelah serta menghadapi masalah penglihatan.

Selain duit, dia juga pernah mendapat gula dan bihun sebagai upah menebang pokok, jika mendapat RM100 ia perlu dibahagikan dengan pembantu lain kerana dirinya tidak mampu memanjat lagi seperti dahulu.

Tambahnya, keadaan lebih rumit apabila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pendapatannya secara keseluruhan terjejas dan mengharapkan duit bantuan JKM.

“Kami pernah dapat sumbangan daripada penghulu musim PKP. Sekarang pun saya lega biarpun duit habis tetapi emak dapat melihat semula selepas menjalani pembedahan menukar manik mata dengan selamat beberapa hari lalu.

“Jika tidak saya sendiri pun susah untuk keluar rumah kerana emak pernah terjatuh, patah tulang, terlanggar barang di rumah disebabkan tidak dapat melihat. Saya kena tunggu anak (Mohd Aikmal,16) balik sekolah barulah boleh keluar kerja,” katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata, sejak PKP dilaksanakan kumpulannya bergiat aktif turun padang menyelami kesusahan masyarakat dengan menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada 200 buah rumah sekitar negeri ini.

“Sudah enam fasa kami membuat serahan. Ini adalah hasil sumbangan duit seramai 151 ahli. Kami mengambil inisiatif untuk sama-sama menceriakan keluarga yang memerlukan apatah lagi mahu menyambut raya dalam suasana PKP,” katanya.



Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus