Ugut keluarga dengan pisau angkara dadah

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penagih dadah ditahan selepas mengugut abang dan beberapa ahli keluarganya menggunakan sebilah pisau selepas tidak memberi wang yang diminta.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Penaga di sini, pada jam 9.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 11.45 pagi semalam, suspek dikatakan pergi ke rumah abangnya (mangsa) di Padang Temusu, Penaga untuk meminta wang.

Menurutnya, suspek dalam keadaan mengamuk meminta wang daripada ibunya dipercayai untuk membeli dadah.

"Selain abang suspek ibu dan adik lelakinya turut berada di ruang tamu rumah ketika kejadian. Abangnya menegur tindakan suspek menyebabkan lelaki itu berang lalu mengambil pisau pemotong daging di sebatang pokok di luar rumah dan terus mengacu ke arah abangnya.

"Suspek turut mengugut untuk mencederakan mangsa bersama ibu dan seorang lagi adik lelakinya jika tidak memberikannya wang.

"Mangsa cuba memujuk tetapi dia terus beredar selepas memecahkan pintu rumah mangsa," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, suspek sering meminta wang daripada ibunya untuk membeli bekalan dadah dan kejadian semalam merupakan kali keenam.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bimbang dengan keselamatannya dan ahli keluarga kerana kejadian seperti itu kerap berlaku lalu dia membuat laporan polis.

"Susulan itu, suspek berjaya ditahan bersama sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan awal air kencing menunjukkan suspek positif dadah dan semakan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapat perintah tahanan reman pagi ini," katanya.