Teh o 20 sen di Wakaf Tembesu

‘Warong Pok Hassan’ menjual teh o 20 sen segelas sejak lebih dua dekad lalu.
‘Warong Pok Hassan’ menjual teh o 20 sen segelas sejak lebih dua dekad lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Peniaga warung, Mohd Ridhuan Mohd Hassan, 38, layak digelar peniaga tidak mengutamakan keuntungan semata mata kerana menjual teh o, 20 sen segelas sejak lebih dua dekad lalu.

Ramai yang pastinya tidak mempercayai tawaran harga itu dalam keadaan semasa kerana rata-rata teh o di tempat lain dijual pada harga lazim RM1 segelas, malah air kosong pun kini perlu dibayar.

Dahulu, kedai dikenali dengan nama Warung Bawah Pokok Nyiur diusahakan Allahyarham Mohd Hassan Yunus itu amat popular dalam kalangan penduduk kerana harga jualan yang murah.

“Teh o panas di sini akan kekal 20 sen secawan sampai bila-bila, kerana itu amanat arwah ayah kepada kami yang meneruskan usahanya ini.

“Selepas ayah meninggal dunia pada 2006 seluruh ahli keluarga sepakat meneruskan operasi warung dan mengamalkan konsep berniaga sambil beramal,” katanya ketika ditemui warungnya di Wakaf Tembesu, di sini.

Mohd Ridhuan Mohd Hassan
Mohd Ridhuan Mohd Hassan

Mohd Ridhuan berkata, warung tersebut kini diusahakan bersama ibunya Semah Jusoh, 62, dibantu beberapa pekerja terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-maranya dan dikenali dengan nama ‘Warong Pok Hassan’.

Menurutnya, dengan hanya RM1 pelanggan yang datang bersarapan sekurang-kurangnya dapat mengalas perut dengan membeli kuih-muih dan memesan air teh o panas.

Artikel Berkaitan:

“Harga kuih-muih di sini 30 hingga 40 sen, selain itu, ada nasi lemak ikan bilis, nasi lemak ikan aya, mee goreng, bihun dan pulut gaul nyiur (RM1-RM1.50) yang kami buat sendiri dan harganya juga tidak mahal.

“Untuk juadah makanan tengah hari pula, kami jual nasi campur, harga lauk-pauk pun tak mahal, kari kepala ikan tenggiri dan ikan merah berharga serendah RM8 saja,” katanya.

Pelanggan datang makan sebaik sahaja warung ini dibuka pada awal pagi.
Pelanggan datang makan sebaik sahaja warung ini dibuka pada awal pagi.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, harga istimewa berkenaan adalah hadiah kepada pelanggan yang banyak menyokong perniagaan keluarga itu bermula sejak zaman arwah bapanya.

“Memang harga barang mentah sekarang dah naik tapi setakat ini kami tak pernah terfikir menaikkan harga makanan mengikut harga bahan mentah semasa.

“Apa yang penting adalah kepuasan melihat ramai pelanggan terutama golongan yang berpendapatan rendah datang makan ke warung kecil ini setiap pagi dan petang,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati warung itu sememangnya menjadi tumpuan ramai terutama penduduk setempat kerana terletak berhampiran jalan utama ke Batu Rakit malah setiap hari lebih 100 gelas teh o berjaya dijual.