Syabu dalam bungkusan plastik teh

Polis merampas dua bungkusan berisi disyaki dadah jenis syabu susulan tertangkapnya dua lelaki di Pandan Perdana, Ampang, semalam.
Polis merampas dua bungkusan berisi disyaki dadah jenis syabu susulan tertangkapnya dua lelaki di Pandan Perdana, Ampang, semalam.
A
A
A

AMPANG - Seorang pemandu teksi antara dua lelaki yang diberkas polis dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM81,000 dalam serbuan di kawasan letak kenderaan di Jalan Perdana 4/8, Pandan Perdana, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota JSJN Selangor kira-kira jam 6.40 petang hasil maklumat dan risikan.

"Pemeriksaan menemui dua bungkusan plastik minuman teh berisi disyaki dadah jenis syabu seberat 2.06 kilogram yang dianggarkan bernilai RM81,000.

"Polis turut merampas kereta jenis Toyota Camry, kunci kereta serta dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun memiliki rekod lampau bersabit kes dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek terbabit masing-masing berperanan sebagai pengedar dan penghantar dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian serta pembabitan suspek dalam kes tersebut," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Artikel Berkaitan: