Wakaf al-Quran pelengkap hospital mesra ibadah

Dr Narimah (kiri) menerima al-Quran daripada Noor Mazlina sebagai simbolik penyerahan al-Quran wakaf inisiatif WUIF dan Kumpulan Karangkraf untuk Hospital Taiping dalam satu majlis ringkas di hospital berkenaan pada Rabu lalu.
Dr Narimah (kiri) menerima al-Quran daripada Noor Mazlina sebagai simbolik penyerahan al-Quran wakaf inisiatif WUIF dan Kumpulan Karangkraf untuk Hospital Taiping dalam satu majlis ringkas di hospital berkenaan pada Rabu lalu.
A
A
A

PEMBERIAN al-Quran menerusi pelaksanaan program wakaf al-Quran yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf disifatkan sebagai pelengkap kepada Hospital Taiping sebagai hospital mesra ibadah.

Pengarahnya, Dr Narimah Yusof berkata, sebanyak 600 naskhah al-Quran diterima untuk fasa kedua dan kesemua ini akan dapat dimanfaatkan oleh kakitangan hospital dan pesakit.

Menurutnya, semua al-Quran tersebut akan ditempatkan di sudut sembahyang yang disediakan di 25 wad yang ada selain turut diletakkan di semua jabatan dan klinik di hospital tersebut.

“Kami sangat menghargai pemberian wakaf al-Quran ini kerana hospital ini sudah lama mempraktikkan dan menjalankan program-program sebagai sebuah hospital mesra ibadah.

“Dengan adanya al-Quran wakaf ini, pesakit-pesakit dapat memanfaatkan sudut al-Quran yang disediakan di ruang solat setiap wad,” katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui sempena Program World #QuranHour di Hospital Taiping di sini Rabu lalu.

Dr Narimah berkata, hospital tersebut turut menjalankan pelbagai program seperti mengajar pesakit cara menunaikan solat ketika sakit selain menyediakan kit solat untuk pesakit.

Sementara itu, mengenai penganjuran program World #QuranHour di hospital terbabit, beliau menjelaskan, ia merupakan program julung kali diadakan hasil kerjasama dengan Rumah Ngaji Taiping.

Pada program tersebut, seramai 20 kakitangan Hospital Taiping bersama ahli-ahli Rumah Ngaji Taiping menjayakan program selama satu jam itu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah; Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi.