Sudah bawa haluan sendiri: Lan Solo

Lan Solo
Lan Solo
A
A
A

PENYANYI Lan Solo tidak menafikan dakwaan yang mengatakan dia telah menyekat rakan-rakannya dari kumpulan Kristal di laman sosial miliknya.

Bagaimanapun, kata Lan atau nama lengkapnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, tindakan itu telah lama dilakukan iaitu ketika masih bertanding di dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

“Sebenarnya ini cerita lama dan saya rasa tidak perlu pun diperbesarkan isu ini kerana kami semua sudah bawa haluan sendiri dan mempunyai hala tuju masing-masing.

“Memang saya akui menyekat mereka di laman sosial ketika itu. Tindakan itu dilakukan bukan kerana marah, tetapi kerana saya mahu menghindarkan daripada anasir-anasir negatif yang mungkin boleh mengganggu tumpuan saya dalam GV4 ketika itu.

“Namun hanya menyekat akaun individu dan bukan milik band Kristal. Mengenali mereka, saya rasa ia adalah tindakan terbaik ketika itu. Apatah lagi dengan apa yang berlaku (penyingkiran), saya kira adalah lebih baik tidak mengambil tahu tentang mereka mereka lagi,” katanya.

No Image Caption

Dalam masa yang sama, Lan yang ditemui di majlis Sidang Media Konsert Retro di Istana Budaya pada Khamis, turut menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan hubungan mereka sudah baik.

“Saya tidak pernah keluarkan kenyataan yang hubungan kami dah OK. Selepas disingkirkan, saya memang tidak lagi mengambil tahu tentang perkembangan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya mahu menjalani kehidupan saya seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada haluan baharu dalam kerjaya seni saya, selain membahagiakan keluarga saya, itu yang lebih penting.

“Sebenarnya jika mereka ada urusan penting dengan saya, mereka boleh menghubungi saya menerusi telefon atau pelbagai medium lain. Tak ada isu pun kerana saya tidak pernah menyekat mereka di aplikasi whatsapp atau memadam nombor telefon mereka.

“Tapi itulah, hakikatnya bertemu di satu pentas yang sama pun, masing-masing tidak bertegur sapa. Jadi kenapa isu sekat IG pula yang diperkatakan?,” ujar Lan kepada Sinar Harian.

Terdahulu sebelum itu, salah seorang anggota kumpulan Kristal menyatakan mereka telah lama tidak berhubung berikutan tindakan Lan menyekat mereka di laman sosial.