NUTP mahu penggal persekolahan sedia ada dikekalkan

Aminuddin menyifatkan sistem pendidikan di negara ini berkembang dalam acuannya tersendiri. Gambar kecil: Aminuddin Awang
Aminuddin menyifatkan sistem pendidikan di negara ini berkembang dalam acuannya tersendiri. Gambar kecil: Aminuddin Awang
A
A
A

SHAH ALAM – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpandangan permulaan penggal bagi sekolah rendah dan menengah wajar dikekalkan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, permulaan penggal persekolahan yang bermula pada Januari setiap tahun disifatkan bersesuaian dengan keadaan di negara ini.

“Apabila kita mahu membuat sesuatu perubahan yang besar dalam sistem pendidikan, kita kena melihat dulu apa masalah sesi persekolahan sekarang.

“Saya tidak nampak adanya masalah besar apabila kita memulakan sesi persekolahan yang sedia ada sebab ia cukup sesuai dengan keadaan cuaca dan sosiobudaya negara ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Aminuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Zakaria Kasa yang menyatakan tiada masalah jika permulaan penggal persekolahan bagi peringkat rendah dan menengah ditukarkan kepada Julai berbanding Januari ketika ini.

Zakaria berkata, cadangan pertukaran itu hanya membabitkan anjakan masa tanpa menjejaskan tempoh pembelajaran.

Sementara itu, Aminuddin menyifatkan sistem pendidikan di negara ini berkembang dalam acuannya tersendiri.

“Kita berkembang dengan acuan kita. Kita perlu tengok kepada sosiobudaya dan perlu meneliti apa masalah yang berlaku sepanjang tahun dari segi cuaca, perayaan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, kebanyakan negeri sebelah pantai timur mengalami musim tengkujuh dan banjir setiap kali tibanya hujung tahun dan sangat sesuailah hujung tahun dijadikan cuti persekolahan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tiada masalah tukar semester sekolah ke Julai