Peniaga, pekerja pasar borong MPHTJ perlu jalani saringan

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pengambilan sampel semasa menjalankan saringan Covid-19 - Gambar hiasan. - Foto Bernama
Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pengambilan sampel semasa menjalankan saringan Covid-19 - Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kira-kira 1,000 peniaga dan pekerja Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Batu Berendam di sini, termasuk kontak rapat mereka, perlu menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) selepas seorang pekerja berusia 30-an di pasar itu disahkan positif semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman berkata, sebahagian daripada mereka sudah menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Batu Berendam sejak Rabu lepas.

"Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah melaksanakan tindakan kawalan termasuk penutupan sementara ruang niaga individu terbabit bagi tujuan disinfeksi untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak.

"MPHTJ juga telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan selaras dengan penutupan Pasar Borong MPHTJ hari ini dan proses nyahcemar dilakukan bermula 3 petang hingga 10 malam ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas maklumat berkaitan satu kes positif Covid-19 melibatkan pekerja pasar borong itu yang tular di media sosial sejak semalam.

Rahmad juga berkat,a setakat ini, tiada arahan untuk menutup pasar borong itu dan operasi jualan berjalan seperti biasa, namun penutupan sementara yang dilakukan hanya melibatkan ruang niaga di mana pekerja terbabit berniaga untuk kerja-kerja nyah cemar.

Sementara itu, beliau berkata, pengunjung pasar borong yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit dada dan sesak nafas serta pernah ke pasar borong tersebut sebelum ini diminta segera ke Hospital Melaka untuk saringan dan tindakan lanjut.

"Jabatan Kesihatan Melaka tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau hebahan di media sosial atau WhatsApp meminta orang awam atau pengunjung yang pernah ke Pasar Borong MPHTJ melakukan saringan Covid-19 sebaliknya ia hanya untuk peniaga, pekerja dan kontak rapat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, maklumat awal yang diperoleh setakat ini menunjukkan pekerja yang positif Covid-19 itu tidak mempunyai kaitan dengan kluster Pasar Borong Selayang atau Kuala Lumpur dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Katanya, individu itu antara 326 orang yang terpilih untuk saringan COVID-19 bagi kumpulan bersasar sebelum ini dan diharap ia hanya kes terpencil serta tiada pertambahan kes positif bagi kumpulan tersebut.

Orang ramai disaran mendapatkan maklumat sahih daripada media rasmi atau Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka selain menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka Tengah di talian 06-2813353 atau CPRC Melaka (06-2345999). - Bernama