Hormati hak mereka untuk berhimpun

Syed Saddiq -Foto Bernama
Syed Saddiq -Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keputusan pihak yang mahu meneruskan himpunan bagi meraikan kejayaan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) wajar dihormati.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia merupakan hak kumpulan tersebut untuk berhimpun dalam sebuah negara demokrasi.

"Perhimpunan itu adalah hak mereka, Kabinet sudah putuskan secara konsensus dan semua bersetuju untuk tidak tandatangani ICERD.

"Bagaimanapun jika segelintir pihak masih mahu meneruskan perhimpunan, kita akan menghormatinya, ia adalah hak mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Kejohanan Lasak Warrior Challenge di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik penolakan kerajaan PH terhadap ICERD namun himpunan yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantahnya.
Artikel Berkaitan:


Mengulas mengenai dakwaan bahawa keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD sebagai agenda politik menjelang PRK Rantau, Syed Saddiq berkata, kerajaan mempunyai bayak isu perlu ditangani.

"Sejujurnya kerajaan ada banyak lagi perkara yang perlu dititik beratkan; daripada isu kos sara hidup, isu biasiswa pendidikan sehingga isu pengangguran belia, banyak lagi yang perlu diberi fokus.

"Seperti kementerian saya, kami sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran, itu yang penting iaitu memberi fokus kepada isu sebenar,” katanya.