Sambut raya hanya di rumah

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang secara sederhana dan tertutup di rumah sendiri bagi melindungi keluarga dan komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu perlu dipatuhi bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menurutnya, walaupun suasana itu janggal dan tidak seperti kelaziman hari raya sebelum ini tetapi sekurang-kurangnya dapat melindungi keluarga daripada dijangkiti wabak yang boleh membawa maut itu.

"Jika kita dapat melakukan perkara ini (beraya di rumah), kita boleh lakukan perintah berkurung di rumah sendiri untuk memastikan tiada orang luar berkunjung ke rumah kita.

"Ini merupakan inisiatif yang sangat baik.

"Sekiranya kita mengambil semua langkah berjaga-jaga, saya yakin kita dapat mencegah penularan Covid-19 dan melindungi ahli keluarga," katanya pada pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang mengetatkan peraturan termasuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa sambutan Aidilfitri seperti mana yang dilaksanakan Arab Saudi.

Mengulas lanjut pelaksanaan perintah berkurung selama 24 jam ketika Hari Raya Aidilfitri di Arab Saudi, Dr Noor Hisham berkata, kementeriannya turut melihat perkara yang berlaku di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tentunya ketika kita melihat keadaan di Arab Saudi (pelaksanaan perintah berkurung) kerana peningkatan kes yang sangat tinggi," katanya.

Dalam pada itu, ditanya jumlah 20 orang individu yang dibenarkan berada di rumah bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, Dr Noor Hisham berkata, jumlah itu sekadar relatif tetapi lebih penting ialah memastikan tidak bersesak di tempat sempit.

"Bukan (soal) 20 orang, satu ukuran sesuai untuk semua kerana ia bergantung pada rumah anda.

"Sekiranya cukup besar tidak ada masalah, di mana fokusnya ialah ahli keluarga, bukan pelawat," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika kediaman keluarga sempit dan terhad lebih baik ibu bapa menasihati anak-anak tidak pulang ke rumah ketika hari raya.