Covid-19: Tiada lagi zon merah di Sarawak

Seorang petugas kesihatan tetap bersemangat ketika bertugas dalam membuat ujian saringan Covid-19. - Foto Bernama
Seorang petugas kesihatan tetap bersemangat ketika bertugas dalam membuat ujian saringan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Setelah lebih sebulan dikategorikan sebagai zon merah dalam klasifikasi kes positif koronavirus (Covid-19), daerah Kuching hari ini kini berstatus zon kuning apabila bilangan kes baharu yang dilaporkan adalah kurang daripada 40 dalam tempoh 14 hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengumumkan tiada kes positif baharu penyakit itu dilaporkan di seluruh negeri ini bagi mengekalkan sifar kes sejak semalam.

“Enam kes positif Covid-19 yang dirawat di Hospital Umum Sarawak telah sembuh.

"Daripada keseluruhan jumlah kes (sebanyak 544 yang direkodkan), 74.45 peratus (405 kes) telah sembuh,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam sidang media harian perkembangan penyakit itu di negeri ini.

Menurutnya memandangkan terdapat kluster baharu dikenali Kluster Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di luar Sarawak dilaporkan, semua individu yang baru tiba di negeri ini dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan diambil sampel dan disaring sebelum dikuarantin sementara menanti keputusan ujian sampel mereka.

“Sekiranya keputusan sampel mereka adalah negatif, barulah mereka dibenarkan pulang, dipasangkan 'wristband' (jalur pergelangan tangan) dan seterusnya menyambung kuarantin di rumah (masing-masing),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: