Imam ungkap rasa sayu, terubat rindu

Syed Mohd Muzzaffar mengimamkan solat Jumaat di masjid itu buat pertama kali dalam tempoh PKP.
Syed Mohd Muzzaffar mengimamkan solat Jumaat di masjid itu buat pertama kali dalam tempoh PKP.
A
A
A

IPOH - Terubat rasa rindu. Itu perasaan diungkapkan Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan yang berkesempatan memimpin solat Jumaat buat pertama kali di masjid itu selepas lebih dua bulan lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sepanjang mengimamkan solat Jumaat tadi, hatinya dipenuhi rasa sayu dan sedih kerana masih berpeluang menunaikan solat bersama jemaah lain.

"Semalam apabila diisytiharkan dapat perkenan kebenaran untuk solat, saya terus batalkan kuliah saya hari ini untuk hadir mengimamkan solat Jumaat.

"Walaupun bukan giliran saya bertugas (imamkan solat), tidak mengapa, biarlah saya orang pertama imamkan solat Jumaat hari ini.

"Alhamdulillah, terubat rindu, terasa sayu dan sedih berada di sini, kita doakan mudah-mudahan wabak koronavirus (Covid-19) ini segera berlalu, biar ramai lagi dapat solat bersama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan giliran jemaah agar lebih ramai kariah dapat peluang solat Jumaat di masjid.

"Dalam pekeliling memang disebut keutamaan kepada pegawai dan jawatankuasa masjid tetapi memandangkan ramai ahli yang usia dah lanjut, jadi kita boleh cuba isikan kuota itu dengan memanggil kariah lain secara bergilir," katanya.

Hanya 12 jemaah termasuk imam dan khatib dibenarkan mendirikan solat Jumaat di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di Perak.
Hanya 12 jemaah termasuk imam dan khatib dibenarkan mendirikan solat Jumaat di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di Perak.

Artikel Berkaitan:

Solat Jumaat di masjid itu disertai 12 jemaah sebagaimana ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Sebaik azan dilaungkan, ia diteruskan dengan bacaan khutbah bertajuk 'Ganjaran di akhir Ramadan' selama tujuh minit.

Selesai solat, imam kemudiannya membacakan doa ringkas sebelum bersurai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin mengingatkan semua pegawai dan jawatankuasa masjid mematuhi garis panduan bagi mengelak wujudnya kluster baharu wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan jemaah.

Menurutnya, peraturan dibuat itu bukan sekadar untuk panduan beribadat tetapi mengelak implikasi yang mungkin berlaku disebabkan berkumpul, tiada penjarakkan sosial dan mengabaikan soal kesihatan.

"Kita tak nak bila peluang begini diberikan, timbul pula benda tak elok contohnya kluster baharu dari masjid, sudah tentulah akan meletakkan imej yang tidak baik kepada masjid.

"Dalam hal ini, kita perlu sama-sama bertanggungjawab pastikan peraturan diikuti bukan semata-mata untuk mendirikan solat tetapi menghalang merebaknya wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerusi bahagian penguat kuasa akan menjalankan pemantauan pematuhan peraturan itu di semua 668 masjid dan lebih 60 surau diri Jumaat.

"Sekiranya didapati ada masjid tak patuh (peraturan), kemungkinan ditarik balik (kebenaran) itu akan dibuat," katanya.