Bot nelayan Vietnam ditahan

Gambar hiasan
A
A

KEMAMAN - Sebuah bot nelayan Vietnam bersama enam awak-awak dan seorang tekong berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana menceroboh serta menangkap ikan di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Md Deris @ Abd Rashid berkata, kejadian pada pukul 9.25 pagi semalam itu merupakan tangkapan pertama tahun ini setelah pihaknya membuat tinjauan dan didapati bot itu berada pada jarak 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia dan kesemua awak-awak dan tekong berumur 22 hingga 51 tahun juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Rashidilhadi berkata, pihaknya telah membawa warga Vietnam berbabit ke jeti Zon Maritim Kemaman bersama bot, peralatan menangkap ikan dan 300 kilogram hasil laut yang dianggarkan bernilai RM400,000.

Mereka akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

Mengikut rekod, pada tahun lalu sebanyak 88 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan telah direkodkan oleh Maritim Malaysia Negeri Terengganu.- Bernama