SPR tetapkan pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun semasa sidang media berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun semasa sidang media berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Julai iaitu pada hari Sabtu sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun yang jatuh pada hari Sabtu dan hari mengundi awal ialah pada 30 Jun iaitu pada hari Selasa.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam pada 3 Julai.

Jelas beliau, SPR telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PRK tersebut.

"SPR akan memastikan setiap proses dalam urusan PRK ini selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran wabak Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan oleh KKM," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pilihan raya itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad pada 8 Mei lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Chini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.

Dalam pada itu, Azhar berkata, antara langkah kawalan yang dicadangkan oleh SPR ialah mengehadkan jumlah maksimum hanya 400 orang daripada 600 orang pemilih sebelum ini bagi setiap saluran pengundian.

Selain itu, SPR juga akan menambah maklumat tambahan baharu dalam kad pengundi yang dihantar kepada pengundi iaitu masa keluar mengundi yang digalakkan.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi adalah digalakkan untuk keluar mengundi dalam tempoh waktu tersebut untuk pematuhan penjarakkan sosial dan mengurangkan kesesakan di pusat mengundi serta saluran mengundi," jelas beliau.

Bagi peraturan berkempen, SPR akan berpandukan SOP dan peraturan yang dikuatkuasakan untuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Seramai 832 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Chini manakala 14 buah pusat mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

Dianggarkan, PRK kali ini memerlukan peruntukkan sebanyak RM4.3 juta.