PRK DUN Chini: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun mengadakan sidang media berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun mengadakan sidang media berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sebanyak 70 peratus pemilih akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua pihak termasuk media dan parti politik diminta memainkan peranan untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

"SPR juga akan meneruskan penambahbaikan pada PRK kali ini dengan menyediakan saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi.

"Selain itu, kita akan memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding jam 5 petang pada PRU14," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR juga akan menambah sebanyak 20 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya sebanyak 66 saluran berbanding 46 saluran pada PRU lepas.

"Pengundi-pengundi orang kurang upaya (OKU) akan mengundi di saluran satu.

"Pada PRK ini seramai 289 OKU telah dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," ujar beliau.

Pilihan raya itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad pada 8 Mei lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Chini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azhar berkata, antara langkah kawalan yang dicadangkan oleh SPR ialah mengehadkan jumlah maksimum hanya 400 orang daripada 600 orang pemilih sebelum ini bagi setiap saluran pengundian.

Selain itu, SPR juga akan menambah maklumat tambahan baharu dalam kad pengundi yang dihantar kepada pengundi iaitu masa keluar mengundi yang digalakkan.

"Pengundi adalah digalakkan untuk keluar mengundi dalam tempoh waktu tersebut untuk pematuhan penjarakkan sosial dan mengurangkan kesesakan di pusat mengundi serta saluran mengundi," jelas beliau.