Pulau Pinang benar makan di restoran, kedai 18 Mei

Pulau Pinang membenarkan makan dan minum di semua premis makanan bermula 18 Mei ini.
Pulau Pinang membenarkan makan dan minum di semua premis makanan bermula 18 Mei ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang membenarkan orang ramai makan dan minum di semua premis makanan bermula 18 Mei susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sepenuhnya di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, Pulau Pinang kini berada dalam fasa ketiga iaitu Fasa Pembukaan berdasarkan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang.

"Barisan Exco telah memutuskan bahawa 18 Mei ini, 'dine-in' atau makan di semua premis makanan dibenarkan.

"Maknanya, bermula Isnin ini, Pulau Pinang akan melaksanakan PKPB sepenuhnya yang mana semua sektor yang dibenarkan di bawah PKPB oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah dibenarkan di negeri ini.

"Bagaimanapun, 'dine-in' fasa pertama sudah dilaksanakan yang mana sektor perhotelan, pusat membeli-belah dan rantaian francais makanan segera dibenarkan untuk makan di premis bermula hari ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini tadi.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan membuat penyelarasan garis panduan bersesuaian dengan kebenaran 'dine-in' fasa kedua tersebut.

Bagi memudah cara pematuhan SOP oleh premis perniagaan, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak iaitu aplikasi Penang Contact Tracer (PGCare).

Artikel Berkaitan:

"Aplikasi ini merupakan projek usaha sama antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan syarikat Madison Technologies yang disokong oleh Maxis Broadband Sdn Bhd Malaysia.

"Sistem ini boleh diakses di laman web www.pgcare.my atau www.penanglawancovid19.com," katanya.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, PGCare juga mampu menggantikan keperluan SOP mendaftar nama setiap pelawat yang memasuki premis perniagaan di Pulau Pinang seperti yang diperuntukkan MKN dan hanya memerlukan tiga langkah mudah iaitu pelawat perlu imbas kod QR, isi maklumat dan isytihar kepada pihak premis selepas mendaftar masuk.

Menurutnya, sistem berkenaan bukan sahaja menjimatkan masa, menggelakkan sentuhan malah memastikan maklumat peribadi individu terlibat selamat serta tidak disalahgunakan kerana maklumat berkenaan hanya boleh diakses oleh kerajaan negeri.

"Pihak premis perniagaan atau orang lain tidak dapat mengakses semua maklumat tersebut.

"Pangkalan data itu hanya akan diakses sekiranya terdapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan pengesanan kontak bagi wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pangkalan data maklumat hanya akan disimpan untuk 30 hari sahaja dan bakal dilupus secara automatik selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Kesihatan.