Gantung diri dalam bilik tahanan: Maritim serah kes kepada polis

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dan ulasan berkaitan kes seorang suspek lelaki menggantung diri sampai mati di bilik tahanan Maritim Selangor pada 13 Januari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada polis untuk siasatan lanjut memandangkan laporan polis telah dibuat.

“Oleh itu, agensi ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dan ulasan berkaitan kes berkenaan bagi mengelak tindakan yang boleh menjejaskan siasatan polis.

“Pendekatan yang diambil ini juga bagi menghormati keluarga mendiang di samping memberi keadilan kepada semua pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zubil, mendiang bersama seorang lagi suspek berada dalam tahanan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 ketika insiden itu berlaku.

Tambah beliau, mereka ditangkap pada 9 Januari 2019 di 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, Selangor oleh bot peronda Maritim Malaysia.

“Sebanyak 22 bungkusan disyaki dadah jenis syabu ditemui bersama mereka yang disorok di dalam tong ikan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: