Keda agih dividen khas kepada peserta

Nordin Bahari,66, dari Kampung Charuk Damar antara penerima sumbangan dividen daripada KEDA.
Nordin Bahari,66, dari Kampung Charuk Damar antara penerima sumbangan dividen daripada KEDA.
A
A
A

SIK - Seramai 130 penduduk miskin tegar yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima agihan Dividen Khas Koronavirus (Covid-19) berjumlah RM41,000.

Daripada jumlah itu, 50 peserta Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik menerima RM500 seorang, manakala 80 peserta Tabung Miskin Tegar Agropolitan Sik (TMTAS) menerima RM200 seorang.

Timbalan Pengurus Besar Operasi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Haji Ahmad Shukri Jusoh berkata, pengagihan dividen tahun itu diluluskan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad untuk mengurangkan beban golongan miskin tegar yang terjejas akibat Covid-19.

“Pengagihan dividen dilakukan secara bayaran terus ke dalam akaun bank peserta yang mempunyai akaun bank. Bagi peserta yang tidak mempunyai akaun bank, penyerahan dilakukan dari rumah ke rumah berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain dividen, kita turut mengagihkan wang zakat serta kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan harian,” katanya ketika turun padang menyampaikan dividen kepada penerima di beberapa kampung di sini kelmarin.

Peserta Ladang Sejahtera, Selasiah Saad, 82, dari Kampung Padang Ragut menerima dividen yang disampaikan Ahmad Shukri (kiri) kelmarin.
Peserta Ladang Sejahtera, Selasiah Saad, 82, dari Kampung Padang Ragut menerima dividen yang disampaikan Ahmad Shukri (kiri) kelmarin.

Haji Ahmad Shukri berkata, TMTAS yang ditubuhkan pada 31 Julai 2012 bertujuan menguruskan Projek Pengeluaran Air Mineral dan Projek Pemulihan Tanah Terbiar bawah Agropolitan Sik.

Menurutnya, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan bersih hasil daripada projek berkenaan disumbangkan ke TMTAS yang akan memanfaatkan penerima Bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Projek Pengeluaran Air Mineral Keda terletak di Charuk Tualang, Sik manakala Projek Pemulihan Tanah Terbiar melibatkan kerja pemulihan sawah dan tanah terbiar di kawasan Program Agropolitan Sik.

Projek itu diuruskan secara komersial oleh anak syarikat Keda iaitu Keda Agrobiz Sdn Bhd yang menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, penerima TMTAS, Noreha Hussain, 54, dari Kampung Lubuk Bedil di sini gembira menerima dividen berkenaan, sekali gus membolehkan dia membuat persiapan hari raya terutama membeli baju baharu.

Noreha (tiga dari kiri) gembira menerima dividen daripada KEDA yang disampaikan oleh Ahmad Shukri.
Noreha (tiga dari kiri) gembira menerima dividen daripada KEDA yang disampaikan oleh Ahmad Shukri.

Noreha yang tidak berkahwin dan mengalami masalah kesihatan menumpang di rumah abangnya yang terletak bersebelahan, bersyukur menerima kedatangan pegawai yang hadir menyampaikan dividen.

“Duit ini bolehlah saya gunakan untuk beli baju raya dan kuih raya,” katanya.

Sementara itu, Ramli Ibrahim, 66, dari Kampung Sadu berkata, sejak diserang angin ahmar pada 2015, dia hanya menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan kerana tidak mampu lagi menoreh getah.

“Alhamdulillah, dengan adanya rezeki ini bolehlah masak apa yang ada untuk berbuka dan bersahur kerana selama ini makan ala kadar sahaja,” katanya.

Sejak ditubuhkan, TMTAS telah menyumbang sebanyak RM238,000 kepada 80 penerima terdiri daripada penduduk miskin.

>

Peserta TMTAS, Meriam Che Noh, 84, dari Kampung Namek terharu menerima kunjungan pegawai KEDA.
Peserta TMTAS, Meriam Che Noh, 84, dari Kampung Namek terharu menerima kunjungan pegawai KEDA.

Implikasi Kewangan

* Pelaksanaan pembayaran dividen melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM41,000 iaitu hasil keuntungan Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik dan TMTAS

* Menunjukkan keprihatinan dan tuntutan obligasi KEDA terhadap kumpulan sasar KEDA yang terjejas dengan wabak Covid-19

* Memberikan impak yang positif kepada KPLB secara langsung sebagai sebuah kementerian yang sentiasa memartabatkan pembangunan luar bandar

Haji Ahmad Shukri Jusoh
Haji Ahmad Shukri Jusoh