Dua lelaki rugi RM18,336 diperdaya 'pegawai bank'

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua lelaki kerugian RM18,336 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman wang melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 30-an itu mahu membuat pinjaman sebanyak RM30,000, tetapi diminta membuat bayaran untuk proses pinjaman tersebut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam dan Butterworth dikatakan telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp sebelum berminat dengan iklan pinjaman yang ditawarkan oleh suspek yang menyamar sebagai ejen bank tempatan.

"Mereka kemudiannya dihubungi suspek yang mendakwa pegawai daripada bahagian pinjaman peribadi.

"Selepas bersetuju membuat pinjaman wang untuk kegunaan peribadi, mereka telah diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran termasuk bayaran wang proses pinjaman, bayaran ansuran untuk tempoh sembilan bulan, bayaran tamatkan CTOS dan bayaran insurans," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa pertama yang merupakan seorang juruteknik telah membuat empat transaksi ke dalam empat akaun bank yang berbeza dengan jumlah RM11,267 manakala mangsa kedua yang merupakan seorang jurujual sebuah syarikat telah membuat tiga transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank berjumlah RM6,969.

Beliau berkata, walaupun mereka telah mematuhi semua syarat termasuk memindahkan wang yang diminta, namun suspek masih meminta mereka untuk membuat bayaran tambahan.

Mangsa yang tidak setuju dan berasa tertipu telah meminta wangnya untuk dikembalikan, namun tidak diendahkan oleh suspek.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit," katanya.

Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini kerana hakikatnya peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk proses pinjaman.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak perlu membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan dalam laman sesawang dan juga dalam talian bagi mengelakkan orang ramai terus terpedaya dalam sindiket penipuan itu.