Buku 'Pergi Covid-19' penghargaan buat barisan hadapan

Ilustrasi buku Pergi Covid-19. - Foto Khairul Azman Ismail
Ilustrasi buku Pergi Covid-19. - Foto Khairul Azman Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah buku bertajuk 'Pergi Covid-19' berkisahkan senario wabak koronavirus (Covid-19) berjaya dicipta hasil karya seorang guru sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan (frontliners).

Seorang pelukis dan penulis, Mohd Khairul Azman Ismail, 45, berkata, langkah kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada rakyat dengan memberi pengetahuan tentang bahayanya Covid-19, malah 'terkurung' di dalam rumah lebih sebulan menjadi pengalaman sukar dilupakan sepanjang hayat.

Sehubungan itu, beliau yang juga seorang guru agama berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan dari Universiti Al-Bayt, Jordan mendedahkan senario Covid-19 yang melanda negara perlu dibukukan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

"Bila mana wabak mula menular di dunia dan dalam negara khususnya, sebagai penulis dan pelukis buku kanak-kanak, saya rasa perlu ada bahan bacaan untuk anak-anak kecil mengenai pandemik ini.

"Terfikir setiap orang ada sumbangan terutamanya pimpinan negara dan tim barisan hadapan dalam menangani Covid-19. Lalu saya terus cari idea apa cerita yang nak diketengahkan. Maka terhasillah buku bertajuk 'Pergi Covid-19'.

"Buku tersebut saya ketengahkan fakta dalam cerita. Ceritanya ada plot, klimaks dan pengakhiran cerita. Fakta dan info tentang wabak saya dapati dari portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ada watak yang menghidupkan cerita. Watak utamanya ialah Afiq dan super hero Dr H (Dr Noor Hisham)," katanya seperti dipetik layarminda.com.

Watak adiwira Dr H. - Foto Khairul Azman Ismail
Watak adiwira Dr H. - Foto Khairul Azman Ismail

Menurutnya, bagi menghasilkan ilustrasi yang menarik, ia perlu seimbang dari segi komposisi dan penggunaan warna air yang tepat.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum menghasilkan buku ini, saya merujuk beberapa buku bergambar negara lain sebelum membuat cerita berdasarkan latar belakang negara kita.

"Buku ini juga adalah manifestasi kepada perjuangan para frontliners, mengingati mereka yang terkorban dan menyemai rasa cinta kepada negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sejak buku cerita kanak-kanak 'Pergi Covid-19' diumumkan oleh penerbitnya, Grup Buku Karangkraf, ramai ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan untuk bacaan anak masing-masing.

"Tidak kurang juga yang mahu jadikan buku itu sebagai koleksi kenangan," katanya.

Mohd Khairul Azman di studio lukisannya.
Mohd Khairul Azman di studio lukisannya.

Jelasnya, sebaik pengumuman tentang buku tersebut kepada orang ramai, pihaknya menerima tempahan 200 naskhah.

"Ramai ibu bapa dan guru sekolah yang teruja untuk mendapatkannya. Mungkin kerana penangan super hero Dr H yang diinspirasikan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah.

“Ramai juga yang katakan buku 'Pergi Covid-19' ini menarik dan terbit tepat pada masanya. Ia bagus untuk kanak-kanak kerana buku itu mengandungi maklumat mengenai Covid-19," ujarnya lagi.

Orang ramai yang mahu membuat pra tempahan boleh ke pautan https://www.karangkrafmall.com/pergi-covid-19-jangan-datang-lagi dan tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di pautan http://www.wasap.my/+60192297227.

Firdaus Hussamuddin
Firdaus Hussamuddin