Mendidik pengguna berhemat

A
A
A

SALAH satu kesan terbesar koronavirus (Covid-19) ialah membataskan pergerakan daripada syarikat penerbangan, industri petroleum, industri automobil, pengangkutan awam sehingga industri pelancongan dengan segala rantaiannya terjejas teruk.

Seluruh pengguna mengurangkan pergerakan sekali gus menjunamkan permintaan dan kuasa beli pengguna. Bermakna perbelanjaan pengguna berkurangan kepada kadar sangat minimum.

Lantaran itu kesan positifnya ialah berkurangnya pengguna berbelanja berlebihan. PKP ( Peraturan Kawalan Pergerakan) yang dikuatkuasakan memberi kesempatan untuk pengguna berhemat dalam berbelanja kerana dihadkan daripada bergerak bebas seperti biasa.

Demikian juga nafsu beriftar dengan aneka makanan pada bulan Ramadan dikawal supaya pembaziran sekitar 15,000 tan makanan sehari yang biasa direkod pada bulan itu yang sepatutnya menumpukan kepada beribadat dan mengekang nafsu serta kegelojohan makan dapat disemai dengan lebih bersungguh.

Mendidik kesederhanaan ketika berbelanja menyambut Aidilfitri dan perayaan yang lain juga seharusnya boleh dibudayakan termasuk menyambut perayaan yang lain.

Bulan Ramadan sering menjadi sasaran komersialisasi yang sangat agresif. Daripada iklan berbuka puasa di restoran mewah di hotel sehingga jualan di pasar raya sempena Aidilfitri.

Banyak perilaku tercela diungkap dalam al-Quran. Akan tetapi salah satu yang sangat terserlah dan dikaitkan dengan hubungan persaudaraan dengan syaitan-syaitan adalah membazir.

Maka sifat membazir yang dipertegaskan itu dikaitkan dengan musuh manusia paling jelas iaitu syaitan yang sesungguhnya adalah musuh manusia yang nyata. Perkaitan antara membazir dan syaitan itu seolah-olah saling berhubung dalam bentuk persaudaraan yang tulen yang berdarah daging.

Artikel Berkaitan:

Membazir nampak seperti perlakuan yang bersifat individu, akan tetapi ia boleh ditafsir juga sebagai sebuah sistem yang melahirkan pembaziran. Bermakna membazir itu boleh dikaitkan dengan perangai sosial yang disuburkan oleh sebuah sistem ekonomi yang mendorong nafsu ketamakan yang berhujung kepada amalan membazir.

Isu pembaziran menjadi isu besar jika kita meneliti jenis pembaziran yang berlaku di peringkat makro. Pembaziran dalam acara rasmi, peruntukan yang tidak diguna mengikut peraturan, pembaziran dalam penggunaan sumber asas seperti air, membeli kenderaan mewah oleh pihak berkuasa.

Semua itu adalah pembaziran yang diformalkan. Pokoknya pembaziran juga berkait dengan urus kelola pemerintah. Lantaran itulah pernyataan al-Quran mengenai pembaziran amat penting kerana ia menyentuh isu yang sangat asasi daripada peringkat individu, negara dan dunia.

Akibat yang lebih parah daripada itu adalah pada saat pembaziran berleluasa di satu pihak, ada sebahagian dunia yang melibatkan ratusan juta manusia hidup dalam kebuluran. Dengan demikian isu pembaziran berkait rapat dengan keadilan dan kesaksamaan ekonomi dan sosial tingkat makro dan mikro.

Antara pembaziran dan kebuluran wujud dampak sosial yang sangat jelek. Potret kanak-kanak kebuluran di Somalia yang hanya tinggal kerangka di tubuh badan yang kering mengutip sisa nasi di atas tanah dengan potret seorang anak yang menginap obesiti dibelai ibu di rumah super lumayan dan mega kaya, menikmati makanan yang berlimpahan di atas meja di London atau New York.

Inilah natijah pembaziran yang disuburkan oleh sebuah peradaban yang tidak layak mendakwa membawa kesejahteraan untuk penduduk dunia.

PKP disebabkan wabak Covid-19 ini sangat memerlukan renungan jujur betapa ia memberi kesempatan kepada semua untuk menilai tabiat yang telah lama dipandang remeh iaitu pembaziran.

Hanya dengan bersikap lebih kritikal supaya kita mengekang pembaziran, kita boleh mengambil iktibar daripada krisis yang mengajar kita supaya lebih waras dalam mengendalikan cara kita berbelanja.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu