Wanita berhaid boleh jana pahala di 10 malam al-Qadr

Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk 'Kalau Kutahu Itulah Lailatul Qadar'.
Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk 'Kalau Kutahu Itulah Lailatul Qadar'.
A
A
A

SHAH ALAM – Wanita yang berada dalam keadaan haid tetap mempunyai peluang meningkatkan pahala sepanjang 10 malam al-Qadr.

Pendakwah, Pencetus Ummah Azman Syah Alias atau lebih dikenali (PU) Azman berkata, ALLAH SWT menciptakan setiap makhluknya dengan keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

“Kita tidak boleh mengecam ciptaan ALLAH kerana menjadikan lelaki dan wanita itu masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan.

“Tidak wujud perbandingan kerana setiap makhluk ALLAH SWT itu ada keistimewaannya kerana pentingnya ialah bertakwa. Nabi SAW bersabda takwa itu berada dalam jiwa," katanya.

Menurutnya, ramai wanita yang bertanya untuk mendapatkan suntikan bagi membolehkan mereka berpuasa sebulan.

“Jawapan saya tiada masalah tetapi perlu mendapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan kemudaratan. Bagaimanapun lebih baik tidak menggunakan kerana haid adalah keistimewaan ALLAH untuk wanita,” katanya.

Azman Syah berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk 'Kalau Kutahu Itulah Lailatul Qadar' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian iaitu portal, Facebook, YouTube dan Twitter hari ini.

Wacana itu turut menampilkan pelakon dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Ashraf Muslim sebagai panelis dan dikendalikan moderator personaliti televisyen popular, Irma Hasmie.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, PU Azman menjelaskan, jumhur ulama mengatakan wanita dalam haid tidak boleh menyentuh atau membaca al-Quran tetapi mereka tidak rugi kerana masih boleh berzikir.

“Jika wanita itu seorang pelajar dan sedang menghafal surah, dia boleh membacanya. Banyak amalan yang memberikan ganjaran pahala kepada wanita yang berada dalam keadaan haid seperti membaca kitab ilmiah, melakukan urusan rumah tangga serta menjadikan suami dan anak bahagia.

“Pintu syurga wanita ada di rumah. Hadis Nabi SAW ada sebut dalam Riwayat Ahmad, wanita yang membahagiakan suaminya boleh masuk ke syurga mengikut mana-mana pintu,” katanya.

Azman Syah turut berkongsi pendapat yang agak aneh dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Ini pendapat yang menggembirakan dan agak aneh dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan ia berdasarkan pendapat ulama muktabar mengatakan bahawa perempuan berhaid sebenarnya boleh membaca al-Quran secara mutlak.

“Saya sebutkan pendapat ini di bahagian paling bawah kerana ini jarang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sebab masyarakat kita berpegang kepada pendapat yang wanita berhaid tidak boleh menyentuh al-Quran dan tidak boleh masuk masjid,” katanya.