Laksana PKP pada hari raya: Dr Jemilah

SOP adalah perkara berat untuk dilakukan semua rakyat terutama yang menyambut Aidilfitri. - Foto 123RF
SOP adalah perkara berat untuk dilakukan semua rakyat terutama yang menyambut Aidilfitri. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Hari Raya Aidilfitri bagi mencegah lonjakan kes koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 di Korea Selatan dan Jerman serta bagaimana perjumpaan berbuka puasa boleh menyebabkan maut.

"Jika kita tidak mengambil langkah untuk mencegah penyebaran (Covid-19), kita boleh kalah daripada semua yang telah dilakukan. Tuhan melarang. Mari berjaga-jaga.

"Mungkin lockdown semasa hari raya adalah satu langkah pencegahan yang baik? Ayuh kekalkan perkembangan baik kita," katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian dengan memuat naik graf Permodelan dan Ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Jemilah turut meletakkan tanda pada akaun Twitter Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan itu.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi pada setiap perayaan dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja.

Menurutnya, aktiviti itu juga hanya terhad kepada 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Prosedur operasi standard (SOP) perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja dan tidak boleh pada hari kedua serta seterusnya,” katanya.