Mati dijerut: Polis tahan empat suspek

A
A

SERI KEMBANGAN - Polis menahan empat warga Indonesia, dua lelaki dan dua wanita dipercayai terlibat dengan kes bunuh seorang wanita Indonesia yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di rumah sewanya di Flat Taman Universiti Indah, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dua wanita yang ditahan itu merupakan rakan serumah si mati dan kesemua mereka direman sehingga Khamis depan.

Menurutnya, polis mengesyaki motif kejadian adalah selisih faham dan cemburu akibat kewujudan orang ketiga.

“Si mati dipercayai mempunyai teman lelaki warganegara Indonesia dan pernah mengajak si mati berkahwin. Kini polis sedang giat mengesan keberadaan teman lelaki si mati yang dipercayai telah melarikan diri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditemui mati separuh bogel]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mati dijerut, polis temui 10 cap jari di lokasi kejadian]

“Telefon bimbit milik mangsa turut hilang dipercayai dibawa lari oleh suspek yang sedang kita buru sekarang ini,” katanya kepada media hari ini.

Ismadi berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar lokasi kejadian dan siasatan terhadap saksi-saksi di kawasan kediaman tersebut sedang dilakukan pihaknya.

“Laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan jerutan di leher. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan lain termasuk kecederaan seksual,” katanya.

Terdahulu, Ismadi memberitahu, pasukan forensik polis berjaya menemui 10 kesan cap jari di sekitar lokasi penemuan mayat wanita berkenaan.

“Kesan cap jari itu akan dianalisa dan akan menjadi petunjuk kepada siasatan kes ini. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Semalam sekitar jam 7.45 malam polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan mayat seorang wanita.

Si mati yang bekerja sebagai tukang cuci menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu berusia 38 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri.