Bicara kes Bung Moktar: Tidak bantah demi pulangan lebih tinggi

Bung Moktar (dua dari kiri) dan Zizie Ezette (kiri) beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas perbicaraan ditangguh hari ini.
Bung Moktar (dua dari kiri) dan Zizie Ezette (kiri) beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas perbicaraan ditangguh hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak membantah kertas cadangan pelaburan baharu berjumlah RM150 juta dalam unit dana amanah bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

Dalam perbicaraan hari ini, Ahli Lembaga Pengarahnya, Dr Habibah Suleiman memberi keterangan, perkara itu turut dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah yang lain.

Menurutnya, semua ahli lembaga pengarah dilihat lebih terbuka dengan cadangan pelaburan tunai organisasi itu ketika ia dibentangkan oleh Pengurus Besar Kumpulan Kewangan FELCRA, Mohd Azmy Abu Samah dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 24 November 2014.

Saksi pendakwaaan kelima berusia 72 tahun itu berkata, cadangan pelaburan itu diluluskan dan ditandatangani bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Apa yang saya ingat, saya diberitahu RM150 juta itu diserahkan kepada unit amanah Public Bank pada mesyuarat bertarikh 16 Jun 2015.

“Mesyuarat itu mengambil masa agak lama iaitu jam 8.30 malam hingga 3 pagi kerana bukan pelaburan itu sahaja yang dibincangkan, banyak lagi agenda lain turut diketengahkan," kata Habibah ketika menjawab soalan daripada peguam M. Athimulan yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya yang juga pelakon, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad.

Mesyuarat yang diadakan di Hotel Intercontinental itu turut disertai Ahli Lembaga Pengarah iaitu Datuk Seri Ibrahim Muhammad, Datuk Baharum Mohamed, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Datuk Ismail Kasim, Azaman @ Azman Ruslan dan Datuk Azailiza Mohd Ahad.

Terdahulu, Bung Moktar, 60, didakwa menerima rasuah bernilai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Rozina Ayob bersambung pagi esok.