Tren kadar kenaikan positif tahfiz, madrasah membimbangkan

Paparan skrin memaparkan jumlah keseluruhan kes discaj semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 oleh Dr Noor Hisham di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Paparan skrin memaparkan jumlah keseluruhan kes discaj semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 oleh Dr Noor Hisham di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tren kadar kenaikan kes positif Covid-19 melibatkan pusat institusi tahfiz dan madrasah amat membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 635 daripada 19,209 pelajar dan guru tahfiz serta madrasah yang disaring disahkan positif.

Menurutnya, berdasarkan keputusan saringan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kadar positif di kalangan kumpulan berisiko ini adalah 5.1 peratus.

"Sebanyak 994 kes masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan situasi seminggu lalu (7 Mei 2020), kadar positif dalam kalangan kumpulan berisiko ialah 4.4 peratus.

Dr Noor Hisham memberitahu, tren kenaikan kadar positif ini membimbangkan kerana menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dalam kalangan kumpulan ini semakin meningkat.

"Daripada siasatan yang dijalankan KKM, didapati 539 daripada 635 kes positif Covid-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.

"Ini boleh mengakibatkan penularan Covid-19 yang lebih meluas dalam kalangan ahli keluarga mereka dan masyarakat setempat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru Dr Noor Hisham menggesa pelajar madrasah dan pusat tahfiz yang sudah pulang ke rumah

ibu bapa atau penjaga, menghubungi pejabat Kesihatan daerah (PKD), klinik kesihatan atau hospital saringan KKM yang berdekatan untuk menjalani persampelan ujian Covid-19.

"Pelajar yang belum pulang, diminta supaya kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau klinik kesihatan saringan terdekat supaya dapat persampelan dapat dilakukan.

"Kerjasama daripada pihak pengurusan madrasah juga dialu-alukan untuk menghubungi PKD berdekatan untuk memberi maklumat yang diperlukan berkaitan pelajar atau kakitangan di pusat masing-masing supaya tindakan pendekatan tertumpu yang berkaitan dapat dijalankan," katanya.

Ditanya mengenai jumlah madrasah dan pusat tahfiz yang belum tampil menyalurkan maklumat, beliau berkata terdapat 1,000 madrasah termasuk persendirian.

"Kita telah melakukan saringan terhadap 370 madrasah yang mana 120 daripadanya telah dikunjungi jemaah tabligh lebih lima kali," katanya.