Kes denggi di Klang naik mendadak

Mohamad Yasid mengadakan perbincangan bersama wakil PKD Klang berkaitan isu denggi yang semakin membimbangkan pada Hari Bertemu Pelanggan YDP, hari ini.
A
A

KLANG - Sebanyak 1,266 kes denggi dilaporkan di daerah ini pada minggu kedua tahun ini berbanding hanya 540 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, peningkatan mendadak kes denggi kini menjadi fokus utama MPK dalam menangani isu berkenaan.

Menurutnya, MPK akan menggandakan lagi operasi bersama melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Daerah Klang selain penguatkuasaan di premis yang dikenalpasti.

“Sebanyak 110 kes tanah kosong dan 170 kes rumah kosong dikenalpasti menjadi penyumbang kepada kes denggi. Kita juga telah mengeluarkan 181 notis kepada pemilik terbabit pada 2018.

“MPK juga memperhebatkan lagi operasi penguatkuasaan di premis-premis yang dikenalpasti dan pemilik akan berdepan tindakan tegas jika didapati lokasi mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama PKD Daerah Klang pada Hari Bertemu Pelanggan YDP MPK, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu tidak akan mampu dilaksanakan jika masyarakat tidak memainkan peranan membasmi aedes.

“Kempen 10 minit membersihkan rumah dilancarkan sejak April tahun lalu dilihat tidak mendapat sambutan penduduk kerana ada antara mereka masih menyimpan barangan lama sehingga menjadi punca takungan air.

“Malah, botol plastik serta polisterin juga dibuang merata tempat, sekali gus boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes, " katanya.

Justeru, beliau mengharapkan bekerjasama penduduk dalam membendung wabak denggi di daerah ini.

"Kita amat berharap tahun ini, penduduk dapat bekerjasama mengamalkan amalan 10 minit itu supaya usaha membendung wabak denggi di Klang tercapai,” katanya.