Covid-19: 40 kes positif baharu hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 40 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan jumlah tersebut termasuk melibatkan 31 warga asing.

"Ingin dimaklumkan juga, bahawa tiada kes import yang dilaporkan hari ini," katanya.

Menurutnya, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah 6,819 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,356 kes.

"Seramai 16 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan dilapor menerima satu kes kematian berkaitan Covid-19.

"Kes kematian ke-112 melibatkan pesakit ke-6,780 merupakan lelaki berumur 39 tahun. Dia mempunyai sejarah penyakit injap jantung, serta kemalangan pada awal tahun mengakibatkan beliau patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

"Pesakit itu disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan jam 9.52 malam pada 12 Mei," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, terdapat 70 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 5,351 kes iaitu bersamaan dengan 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, terdapat enam kluster Covid-19 dikesan melibatkan madrasah tahfiz.

"Empat kluster ini adalah merupakan subkluster kepada perhimpunan di Seri Petaling, manakala dua lagi masih dalam siasatan," katanya.

Tambahnya, Kluster Madrasah di Solok Duku, Melaka telah dikenal pasti sebagai kluster terbaharu berkaitan madrasah tahfiz.

"Setakat ini seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga telah disaring dan didapati dua kes positif di kalangan 35 orang pelajar.

"Tiada kes positif di kalangan 10 orang guru dan kakitangan madrasah serta dua kes positif di kalangan 62 ahli keluarga guru, kakitangan dan pelajar," katanya.