Cadangan Mukhriz hanya taktik

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya pembangkang membawa usul dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dilihat sebagai taktik dan sandiwara sahaja.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, beliau menyifatkan cadangan berkenaan sekadar untuk membeli masa dan meraih simpati bagi mengekalkan kerajaan pimpinannya sahaja.

Katanya, UMNO berpendapat tiada keperluan untuk berbuat sedemikian seperti kes di Perak pada 2014, diikuti Kedah pada 2016 dan terbaru ketika pelantikan Perdana Menteri baharu.

"Sidang DUN masih lama iaitu sekitar lima bulan lagi selepas sidang terakhir diadakan pada 16 April lepas.

"Jadi, kita bimbang pentadbiran negeri akan wujud kepincangan selama tempoh itu dan kerajaan negeri juga tidak stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal juga Mukhriz masih gagal dan tidak menunjukkan bahawa diri beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah.

"Jika hanya bersandarkan kepada akuan bersumpah (SD) lama, maka ia sudah tidak sah. Begitu juga keupayaan mengadakan mesyuarat Exco bukan petunjuk jelas mengenai sokongan kalangan ADUN.

"Jadi, Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah harus dan wajar sembah maklum kepada Sultan Kedah akan sokongan yang beliau ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohd Johan Rizal berkata, hal ini disebabkan Fasa 2 Seksyen 2 (2a) Jadual ke 8, Peruntukan Tetap Perkara 71 Undang-undang Tubuh Negeri memaktubkan bahawa Raja hendaklah melantik seorang MB yang pada hematnya mendapat sokongan majoriti ADUN.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan menteri besar mestilah membuktikan bahawa masih wujud sokongan majoriti pada beliau tidak mengambil kira dari parti mana sokongan ahli dewan itu hadir.

"Kini wujud pertikaian bahawa Mukhriz tidak lagi memiliki majoriti apabila 23 daripada 36 ADUN hilang keyakinan yang dizahirkan melalui SD kepada beliau untuk menerajui kerajaan negeri,"katanya.

Katanya, ketika ini Mukhriz boleh memohon menghadap Sultan Kedah supaya semua ADUN menzahirkan sokongan sama ada kepada dirinya ataupun individu lain.

Dalam perkembangan sama katanya, beliau berpendapat Mukhriz memiliki tiga pilihan untuk menyelesaikan kemelut politik di Kedah iaitu berbesar hati dan bersifat sebagai ahli politik hebat dengan meletak jawatan dan menyerahkan kepada Sultan Kedah untuk menentukan pihak memiliki sokongan majoriti.

"Pilihan kedua, sidang DUN tergempar dengan segera dan membawa kepada perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN," katanya.