Kerajaan Kelantan tidak pernah abai Zaharah

Pondok yang dihuni oleh Zaharah dan keluarganya sejak 20 tahun lalu.
Pondok yang dihuni oleh Zaharah dan keluarganya sejak 20 tahun lalu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - "Kerajaan negeri sudah acap kali memujuk Zaharah Sulaiman, 79, dan keluarganya untuk berpindah keluar dari kawasan Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) namun dia berkeras tidak mahu berbuat demikian".

Itu penjelasan Penghulu Mukim Batu Karang, Mohd Sayuti Mohd Noor berhubung kisah Zaharah selepas ia tular di laman sosial semalam apabila penceramah terkenal Ustaz Ebit Lew berjaya memujuk warga emas berkenaan dan keluarganya untuk meninggalkan 'pondok buruk' berusia 20 tahun di tapak pelupusan sampah itu.

Entri laman sosial milik Ustaz Ebit Lew yang tular selepas melakukan lawatan ke pondok yang dihuni Zaharah dan keluarga sejak 20 tahun lalu.
Entri laman sosial milik Ustaz Ebit Lew yang tular selepas melakukan lawatan ke pondok yang dihuni Zaharah dan keluarga sejak 20 tahun lalu.



ARTIKEL BERKAITAN: 'Bila tengok orang susah saya terasa seperti keluarga saya'

Isu tersebut menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet dan 'pemain-pemain' politik termasuklah pimpinan kerajaan Kelantan.

Mohd Sayuti berkata, selain memujuk, bantuan kepada Zaharah serta lapan lagi keluarga yang menghuni kawasan tersebut turut diagihkan secara sekata.

Zaharah (dua dari kiri) menerima kunjungan pemimpin setempat di rumah sewa baharunya di Taman Haji Yaakob yang terletak dua kilometer dari pusat pelupusan sampah MDPM.
Zaharah (dua dari kiri) menerima kunjungan pemimpin setempat di rumah sewa baharunya di Taman Haji Yaakob yang terletak dua kilometer dari pusat pelupusan sampah MDPM.

"Jadi dakwaan mengatakan kerajaan negeri tidak cakna dengan nasib mereka yang tinggal di kawasan ini tidak berasas sama sekali termasuklah keluarga Zaharah.

"Untuk makluman semua, kerajaan negeri sudah menyediakan penempatan baharu untuk kesemua keluarga terlibat di belakang Taman Perumahan Tengku Anis," katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan berkenaan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain menyediakan penempatan pelbagai bantuan telah hulurkan oleh kerajaan negeri sejak tahun 2015 termasuklah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Yusoff merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita.

Katanya, apa yang tular di media sosial itu semalam mungkin salah faham dalam kalangan sesetengah pihak.

Katanya, kebanyakan mereka yang menetap di lokasi itu adalah bersifat sementara sahaja.

"Jika berpindah ia akan memberikan kesukaran kepada mereka untuk mencari rezeki kerana kebanyakan sampah tiba pada tengah malam dan awal pagi," katanya.

Salah sebuah daripada sembilan pondok yang terdapat di kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah MDPM.
Salah sebuah daripada sembilan pondok yang terdapat di kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah MDPM.

Mohd Sayuti berkata, kesemua kawasan tersebut dilengkapi dengan bekalan tenaga elektrik serta sumber air dari perigi yang digali berhampiran lokasi itu, cuma tandas sahaja tiada dan memerlukan mereka ke surau berhampiran.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sayuti berkata, beliau menyambut baik usaha yang dilakukan oleh penceramah terkenal itu.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Ebit Lew kerana berjaya memujuk Zaharah dan keluarganya untuk berpindah selepas 20 tahun menetap di kawasan berkenaan.

Sementara itu, cucu Zaharah, Siti Nor Asrizan Abdullah,19, berkata, dia dan keluarga serta penduduk setempat sentiasa mendapat perhatian daripada pihak kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Menurutnya, pelbagai bantuan telah diterima mereka sekeluarga termasuklah sumbangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuklah Ustaz Ebit Lew di atas bantuan yang telah dihulurkan kepada kami dan dapatlah kami menyambut Aidilfitri di rumah sewa baharu.

"Jika sebelum ini kami sekeluarga beraya di pondok usang dengan ditemani sampah sarap," katanya.

Dua pencari barangan terpakai sedang menyelongkar sampah di tapak pelupusan milik MDPM.
Dua pencari barangan terpakai sedang menyelongkar sampah di tapak pelupusan milik MDPM.

Seorang pencari barangan terpakai di tapak pelupusan sampah itu, Mohd Zulkhairi Mohd Tapek, 25, berkata, dia mula bekerja di kawasan tersebut sejak tahun 2013 lalu.

Katanya, dia memutuskan untuk tinggal di lokasi itu kerana mudah untuk mencari rezeki.

"Sampah-sampah ini biasanya tiba pada jam 3 hingga 7 pagi setiap hari," katanya.

Menurutnya, kebanyakan pencari barangan terpakai di sebalik timbunan sampah ini menetap secara sementara di lokasi tersebut.

Katanya, mereka sentiasa menerima kunjungan daripada pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang menghulurkan bantuan.

"Kami tidak meminta tetapi mereka datang memberi. Jadi kami terimalah bantuan tersebut," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati terdapat kira-kira sembilan pondok kecil dihuni oleh sembilan keluarga yang bekerja sebagai pencari sampah.

Ketika tinjauan dilakukan kira-kira 10 orang sedang melakukan pekerjaan mereka.