Kenduri kahwin belum dibenarkan sepanjang PKPB

Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan belum membenarkan sebarang majlis perkahwinan diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia melibatkan perhimpunan ramai yang disenaraikan sebagai aktiviti terlarang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Buat masa ini kita hanya benarkan majlis akad nikah melalui pelbagai kaedah yang sesuai. Untuk majlis perkahwinan, mungkin boleh dibuat kemudian," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Sementara itu, mana-mana pihak yang menjual topeng muka melebihi harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1.50 bagi setiap satu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar akta ini.

"Justeru orang ramai yang melihat atau mengetahui berlaku penjualan topeng muka ini melebihi harga siling sila laporkan kepada KPDNHEP," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung tindakan gedung pakaian di Kelantan mengambil kesempatan memaksa pelanggan yang tidak mempunyai topeng muka membelinya dengan harga RM2 bagi setiap satu sebelum memasuki premis.

Mengulas perkara tersebut, beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menetapkan harga siling bagi topeng muka.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini boleh dikenakan tindakan oleh KPDNHEP. Saya harap orang ramai maklumkan kepada kementerian itu agar kedai berkenaan diambil tindakan," katanya.