Pemeriksaan premis di tiga zon PKPD Jalan Othman selesai

Operasi 'search screen' telah selesai dijalankan di PKPD Jalan Othman.
Operasi 'search screen' telah selesai dijalankan di PKPD Jalan Othman.
A
A
A

PETALING JAYA – Pasukan 'search screen' telah selesai menjalankan pemeriksaan di tiga zon di kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Othman di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi ‘search screen’ itu telah dilaksanakan sejak semalam.

“Operasi itu bertujuan untuk mengesan premis yang didiami oleh individu yang tidak memberi respon ketika dikunjungi oleh petugas KKM," katanya melalui kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana penghuni 76 unit rumah di PKPD Jalan Othman?

Nik Ezanee berkata, sebanyak 46 premis di Zon B telah diperiksa di mana dua warga tempatan dan dua warga asing telah disaring.

“Sebanyak 540 sampel telah didapati negatif termasuk seorang warga asing yang cuba melarikan diri dari PKPD Pasar Othman di sini pada Selesa lalu,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, semakan semula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat beberapa pertindihan nama dalam senarai saringan.

“Jumlah penduduk disaring telah dikemaskini pada hari ini oleh KKM adalah seramai 2,150 orang yang melibatkan 1,555 warga tempatan dan 595 warga asing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil tinjauan bersama penduduk di kawasan yang terlibat, mereka menerima keadaan yang berlaku ini dengan tenang.

“Mereka menyokong tindakan PKPD, saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang terlibat. Kita berharap mereka terus bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kesemua agensi yang terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi bilik gerakan PKPD pasar Jalan Othman di talian 013-2666165 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Terdahulu Nik Ezanee memaklumkan KKM dengan bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mendirikan tiga pusat ujian koronavirus (Covid-19) masing-masing di Zon A, B dan C kawasan itu.

Kawasan berkenaan diletakkan bawah PKPD sejak Ahad lalu hingga 23 Mei ini.