Mengamuk tampar isteri kena jaga anak

Gambar kecil: Razmi Mohd Gunnos
Gambar kecil: Razmi Mohd Gunnos
A
A
A

BESUT - Seorang lelaki mengamuk dengan bertindak menampar muka isterinya gara-gara terpaksa menjaga anak mereka selepas wanita itu keluar bekerja dalam kejadian di Kampung Raja di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek yang berusia 40-an juga bertindak mengugut mahu membunuh bapa mertuanya sejurus mengetahui lelaki itu dalam perjalanan ke rumahnya untuk membawa balik mangsa yang berusia 34 tahun dan anak-anak ke Dungun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, mangsa yang baru sampai ke rumah selepas keluar bekerja terus dimarahi suspek kerana tidak berpuas hati terpaksa menjaga anak-anak sebelum berlaku pertengkaran mulut.

Beliau berkata, semasa pertelingkahan itu, mangsa dikatakan terkeluar perkataan yang tidak menyenangkan hati suspek sebelum lelaki tersebut mengamuk lalu menampar muka wanita terbabit.

"Dalam masa sama, suspek dikatakan turut membaling kasut ke arah mangsa, tetapi dapat dielak sebelum bertindak mengambil sebilah parang dan mengasahnya sambil berkata mahu membunuh bapa mertuanya.

"Hal ini disebabkan suspek tidak berpuas hati selepas mengetahui bapa mertuanya dalam perjalanan datang ke rumah untuk membawa balik mangsa dan anak-anak pulang ke Dungun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Razmi berkata, melihat keadaan suaminya seperti dirasuk, mangsa bersama anak-anak terus keluar dari rumah ketika suspek berada di dapur mengasah parang lalu ke balai polis membuat laporan untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel Berkaitan: