Nasib tak menyebelahi Mukhriz

Muhammad Sanusi dan Mukhriz
Muhammad Sanusi dan Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - "Beliau seorang ahli politik yang banyak berjasa kepada Kedah, cuma nasib tidak menyebelahinya kali ini," kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu berkata, beliau menghormati Mukhriz sebagai seorang pemimpin dan juga seorang sahabat turut menasihatkan Mukhriz supaya bertabah berdepan perubahan politik Kedah.

Selain itu, Mukhriz perlu menerima hakikat bahawa keadaan tidak selalunya berpihak kepada beliau berikutan percaturan politik di peringkat Pusat.

Ia susulan perubahan komposisi DUN Kedah yang menyaksikan Perikatan Nasional kini menguasai kerusi dengan majoriti 23 sokongan, menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membolehkan peralihan kuasa berlaku.

"Apabila berlaku situasi seperti ini, tentulah beliau berasa kecewa, marah dan tidak dihargai namun itulah hakikat bila kita ceburi politik, kita perlu bersedia berdepan pelbagai kemungkinan yang tak diduga," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Muhammad Sanusi turut melahirkan rasa simpati kerana Mukhriz berdepan situasi sama sebanyak dua kali termasuk perkembangan terbaharu yang memperlihatkan Mukhriz hilang jawatan setelah hilang kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Kali pertama ketika beliau adalah Menteri Besar BN (Barisan Nasional), ketika itu Pas ambil pendekatan sokong beliau untuk kekal.

ARTIKEL BERKAITAN: Pisang berbuah dua kali di Kedah

"Kali ini keadaan sudah berubah, Pas terpaksa ambil pendekatan baharu dengan wujudkan Perikatan Nasional dan menolak kepimpinan beliau," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Sanusi ganti Mukhriz?

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi yang dijangkakan bakal menggantikan tempat Mukhriz, bagaimanapun tetap mahu mereka kekal sebagai sahabat, apatah lagi mereka sudah tentu akan berjumpa pada Persidangan DUN Kedah memandangkan Mukhriz juga ialah ADUN Jitra.

Beliau berkata, Mukhriz boleh terus menyumbang kepada Kedah pada masa akan datang sebagai wakil rakyat biarpun tidak lagi menggalas amanah sebagai Menteri besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah

Kelmarin, Muhammad Sanusi mengumumkan Perikatan Nasional Kedah dibentuk setelah beroleh 23 sokongan majoriti ADUN yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mukhriz.

Komposisi Perikatan Nasional Kedah kini dianggotai 15 ADUN Pas, empat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN PKR.

Perubahan itu juga menyaksikan kerajaan PH pimpinan Mukhriz tumbang dengan hanya beroleh 13 sokongan ADUN.

Mukhriz bagaimanapun menegaskan beliau masih Menteri Besar yang sah, termasuk kerajaan sedia ada masih berfungsi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa usul tidak percaya dalam Sidang DUN: Mukhriz

Beliau turut mencadangkan agar pembangkang mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya dalam Persidangan DUN Kedah sekiranya berhasrat mengambil alih kuasa pemerintahan.