Lesap RM511,760 diperdaya Macau Scam

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Panik didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram, seorang peniaga di daerah ini kerugian RM511,760 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

Kejadian berlaku pada 7 April lalu, selepas lelaki berusia 32 tahun yang ketika itu berada di rumahnya dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Rosli' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintenden M Zambri Mahmud berkata, suspek memaklumkan mangsa dikesan dalam kegiatan pengubahan wang haram.

"Meskipun dinafikan sekeras-kerasnya oleh mangsa, suspek tetap bertegas dan meminta lelaki itu memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan dengan alasan untuk pembekuan akaun.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa yang ketakutan terus melakukan apa yang diarahkan dengan membuat pemindahan wang daripada akaun bank miliknya ke akaun bank baharu diberikan suspek pada hari sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

M Zambri berkata, walaupun telah memasukkan wang seperti diarahkan, namun suspek tetap tidak berpuas hati dan masih mengeluarkan arahan sama dengan memberi alasan mahu membantu mangsa menyelesaikan kes terbabit.

"Perkara itu berlarutan sehinggalah mangsa membuat 14 kali transaksi dengan jumlah keseluruhan RM511,760.

"Mangsa yang berasa ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini untuk membuat laporan kelmarin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, M Zambri menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

"Kita juga minta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

"Orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan," katanya.