Miros nafi laporan blog

A
A

KAJANG – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menafikan laporan sebuah blog yang mendakwa agensi itu telah membuat kesimpulan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal akan turun jika had laju motosikal yang lebih rendah dikenakan.

Menurut Unit Korporat dan Pengurusan Ilmu Miros, blog itu memetik maklumat melalui kertas jurnal pada tahun 1999 bertajuk “Fatal Injuries in Malaysian Motorcyclists” yang ditulis oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia dan diterbitkan oleh International Medical Research Journal.

"Di dalam kertas jurnal itu, ada dinyatakan bahawa majoriti 35.1 peratus kematian akibat nahas melibatkan penunggang motosikal berlaku di jalan raya yang had lajunya 70 kilometer sejam (kmj), diikuti dengan 24.3 peratus kematian berlaku di jalan raya yang had lajunya 50 kmj.

"Konteks ayat itu hanya menyatakan statistik kemalangan melibatkan penunggang motosikal berdasarkan had laju jalan tersebut namun, tiada dinyatakan di dalam kertas jurnal itu dengan menurunkan had laju motosikal, ia boleh mengurangkan kemalangan," katanya di sini, hari ini.

Artikel tersebut dipercayai ditulis di dalam blogjalanraya.blogspot.com pada tahun 2012 di bawah tajuk “Had laju motosikal 60 km/j selamatkan nyawa - Mitos terbukti karut!”.

Miros berkata, institut itu hanya ditubuhkan pada tahun 2007 dan pernyataan kajian Miros pada 1999 tersebut adalah tidak benar.

"Dakwaan bahawa penyelidikan ini digunakan oleh Miros bagi mempromosi penurunan had laju motosikal pada masa itu juga adalah tidak benar," ujarnya.

Jelas Miros, semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal perlu mematuhi kelajuan seperti yang ditetapkan oleh had laju bagi setiap jalan, sama seperti kenderaan-kenderaan yang lain.

"Hal ini boleh mengurangkan risiko perbezaan kelajuan yang mana akan mengakibatkan impak yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan," katanya.

Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawahnya masih di dalam peringkat untuk meneliti beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya secara komprehensif terutamanya yang melibatkan motosikal bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

"Maklumat lanjut mengenai perkembangan kajian dan pelaksanaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Miros menggalakkan input dari orang ramai berhubung cadangan dan maklum balas bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di negara kita," katanya.