X

Kindly register in order to view this article
!

Bank ambil langkah proaktif fahami keperluan peminjam: BNM

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyangkal persepsi bahawa bank lebih berminat melindungi keuntungan dan bonus mereka daripada menyediakan bantuan tambahan kepada perniagaan dan individu semasa berlaku peristiwa yang belum pernah berlaku seperti pandemik koronavirus (Covid-19).

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank mengambil langkah proaktif mendekati peminjam untuk memahami keperluan dan bagaimana ia boleh berubah pasca Covid-19 serta memastikan dana mereka sendiri tersedia untuk membantu individu dan perniagaan yang layak.

Semasa penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac, bank-bank bersetuju untuk menyediakan moratorium enam bulan bagi membantu peminjam yang berdepan masalah aliran tunai dan melancarkan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) bagi perusahaan kecil dan sederhana yang layak.

"Apa yang tidak diketahui orang ramai adalah bank turut mempunyai peranan lain yang sama penting iaitu bank adalah penjaga deposit awam dan memainkan peranan melindungi dan menyediakan pulangan kepada pendeposit.

"Mereka perlu terus mengamalkan pengurusan risiko dalam menyediakan kredit. Sistem perbankan perlu kekal kukuh supaya dapat menyokong perniagaan dan individu dalam menghadapi pemulihan ekonomi,” katanya selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama negara hari ini.

Menurutnya, selain daripada itu sektor perbankan juga menyediakan sokongan kepada graduan menerusi Program Graduan 2000 (GP2000) yang dilancarkan pada 2020.

"Program ini bertujuan menyediakan latihan dan pengalaman kerja kepada sehingga 2,000 graduan yang menganggur dengan imbuhan RM2,000 sebulan sepanjang tempoh lapan hingga 12 bulan program tersebut.

"Cabaran ekonomi semasa akan melalui beberapa fasa yang memerlukan pelbagai langkah dan keutamaan dasar," katanya.

Katanya, langkah-langkah perlu disesuaikan bagi memastikan sistem perbankan boleh memainkan peranan secara efektif dalam setiap fasa pemulihan yang berbeza serta memastikan sistem perbankan tidak menjadi sumber risiko menyebabkan kegawatan lebih buruk bagi tempoh lama.

"Dalam tempoh terdekat selepas kejutan pandemik, kita menumpukan kepada bantuan bagi membantu mereka yang paling terjejas terutamanya dalam mengurangkan bebanan masalah aliran tunai. Ini fasa pertama dan fasa seterusnya adalah bagi ekonomi untuk melantun semula dan selepas pemulihan.

"Fasa akhir adalah pembaharuan lebih mendalam dari segi peningkatan kemahiran dan mengguna pakai teknologi baharu yang akan memastikan kita lebih kukuh pasca normal baharu COVID-19 dan kita kekal berdaya saing,” katanya,

Nor Shamsiah berkata, BNM menumpukan untuk melindungi kapasiti pemberian pinjaman bank-bank bagi menyokong pemulihan ekonomi yang pantas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus