Jokowi menawarkan keyakinan, Prabowo menekankan isu kemiskinan

Prabowo (dua kanan) bersalaman dengan Jokowi pada penutup debat perdana Pilpres 2019 di Jakarta, semalam.
Prabowo (dua kanan) bersalaman dengan Jokowi pada penutup debat perdana Pilpres 2019 di Jakarta, semalam.
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Debat pertama Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019 antara Joko Widodo yang mesra disapa Jokowi dengan pencabarnya, Prabowo Subianto pada Khamis bermula panas apabila masing-masing tidak membuat penghargaan kepada satu sama lain meskipun diminta moderator untuk berbuat demikian.

Pada ucapan pembukaan, Jokowi mempersembahkan visi pasukannya bertemakan Indonesia Maju.

Beliau menegaskan visi berkenaan bertujuan mengembangkan Indonesia menjadi sebuah negara moden melalui pendekatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Pada masa sama, Jokowi turut berikrar cuba menyelesaikan beberapa isu berkaitan hak asasi manusia yang berlaku di negara keempat paling ramai penduduk terbabit.

Beliau yang pernah mengemukakan janji sama pada Pilpres 2014 bagaimanapun mengakui, usaha terbabit tidak mudah kerana berdepan kerumitan undang-undang.

“Bagaimanapun kami masih komited untuk menyelesaikan pelanggaran hak asasi pada masa lalu dan yakin dapat melakukannya.

"Pemerintah harus disokong oleh sistem perundangan yang adil,” kata Jokowi, sambil menambah visinya juga akan terus diperbaharui.

Dalam pada itu, Jokowi berkata penguatkuasaan undang-undang yang tegas diperlukan untuk membasmi rasuah.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau menyasarkan untuk mengukuhkan Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dan memastikan ia menjalin kerjasama dengan institusi lain, termasuk polis dan Pejabat Peguam Negara.

Prabowo yang berulang kali mempersoalkan sistem perundangan negara dan rasuah meluas pula mencadangkan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, jumlah pendapatan pegawai di institusi penguatkuasaan undang-undang perlu ditingkatkan untuk mencegah amalan rasuah.

“Kita mesti meningkatkan pendapatan pendakwa dan pegawai mahkamah sehingga mereka tidak akan tergoda untuk terlibat dengan amalan tidak bermoral tersebut.

Prabowo turut menekankan isu kemiskinan dan jurang pendapatan yang menjejaskan lebih 250 juta penduduk negara itu. - Agensi