Normal baharu melawan warga asing di KL

A
A
A

UNTUK kesekian kalinya kita diberitahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas terhadap warga asing yang terlibat dengan perniagaan, khususnya sektor penjajaan.

Seperti dilaporkan media, DBKL akan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam perniagaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebanjiran pendatang asing perlu ditangani kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada peniaga tempatan.

Maaf cakap saya tidak berharap apa-apa dengan janji Datuk Bandar. Sudah jemu mendengar janji untuk tindakan tegas ke atas warga asing yang kelihatan merampas perniagaan rakyat tempatan.

Oleh sebab sudah berkali janji seperti itu disuarakan – tetapi tiada tindakan yang jelas – peniaga tempatan semakin kecewa dan bosan.

Sebenarnya perihal pendatang asing – termasuk PATI – di Kuala Lumpur mengambil alih perniagaan anak tempatan bukanlah isu baharu, bukan normal baharu yang wujud selepas Covid-19.

Seingat saya sejak mula datang ke Kuala Lumpur empat dekad dulu isu itu sudah diperkatakan orang. Peniaga Melayu asal selalu mengeluh dan tertekan.

Saya masih ingat kawasan sekitar Chow Kit, khasnya Lorong Raja Bot dan Jalan Haji Hussein, satu demi satu diambil alih oleh warga asing dari seberang.

Artikel Berkaitan:

Mereka mulanya menumpang ruang kecil di gerai Melayu Lorong Raja Bot, menjalankan perniagaan membaiki kasut.

Tidak lama kemudian kedai itu menjadi kedai mereka, tidak lagi membaiki kasut tetapi sudah menjadi pembuat dan penjual capal.

Akhirnya kawasan perniagaan asal kepunyaan anak tempatan itu diambi alih oleh orang asing menjual jamu, ubat kuat, songkok, kain batik dan macam-macam.

Hari ini Chow Kit dan mana-mana kawasan perniagaan, termasuk Pasar Borong Selayang, semua dikuasai oleh warga asing.

Pihak berkuasa, khasnya DBKL, bukan tidak tahu perkara ini; masakan tidak tahu perkara terjadi terang-terangan di hadapan mata!

Tetapi baik PBT dan agensi-agensi terlibat semua seperti kena pukau, tidak dapat berbuat apa-apa.

Maka ilmu hitam yang digunakan oleh warga asing dari pelbagai pelosok dunia itu menjadikan mereka kebal dan tidak takut undang-undang.

Seyogia bomoh dan dukun tempatan yang handal pun tidak dapat melawan pendatang asing.

Datuk Bandar silih berganti, menteri pun bertukar beberapa kali, tetapi masalah penguasaan pendatang asing terhadap perniagaan anak tempatan di Kuala Lumpur masih tidak dapat diatasi.

xs

Congaknya mudah sahaja; orang kita diberikan lesen berniaga oleh pihak berkuasa. Tetapi oleh sebab malas, bodoh dan ingin untung mudah, lesen itu digadaikan kepada pendatang asing.

Pihak berkuasa tempatan, khasnya DBKL, pula tidak bertindak tegas. Mereka sedar ada pemilik tempatan menggadaikan lesen, tetapi mereka tidak berupaya bertindak. Ada ramai yang komplen, tetapi DBKL berkata pihaknya tidak dapat bertindak ke atas warga asing sebab itu bidang kuasa Imigresen.

Imigresen pula tidak dapat bertindak ke atas peniaga tempatan yang menggadaikan lesen kerana pengeluaran dan pembatalan lesen adalah di bawah bidang kuasa DBKL.

Maka PBT dan agensi saling menuding jari, masing-masing tidak ada gigi. Itulah sebabnya seinci demi seinci lokasi perniagaan anak tempatan diambil alih oleh warga asing.

Sehari dua ini nampak ada ketegasan. Seperti dilaporkan media Imigresen bertindak menggempur warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Harap-harap jabatan tersebut dengan kerjasama agesi lain terus menggempur mereka yang mengganggu perniagaan warga tempatan.

Diharapkan juga Menteri Wilayah yang baharu, Tan Sri Annuar Musa boleh mengatasi masalah peniaga tempatan yang memajakkan lesen kepada warga asing.

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah