Pelan pemulihan ekonomi jangka pendek akan dilancar: Zafrul

Pelan pemulihan itu termasuklah garis panduan kesihatan dan kaedah operasi selamat dalam normal baharu dan pembangunan kapasiti. - Foto 123RF
Pelan pemulihan itu termasuklah garis panduan kesihatan dan kaedah operasi selamat dalam normal baharu dan pembangunan kapasiti. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan juga jangka sederhana untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negara dalam masa terdekat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perancangan tersebut termasuklah garis panduan kesihatan dan kaedah operasi selamat dalam normal baharu dan pembangunan kapasiti.

"Garis panduan itu turut membabitkan pengambilan pekerja dan penjanaan pekerjaan dan meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutamanya melalui saluran digital dengan cara operasi baharu.

"Selain itu, kerajaan juga akan menyokong penyusunan semula, pemulihan dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya melalui teknologi digital, membangunkan ketahanan dan peluang pertumbuhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 0.7 peratus pada suku pertama 2020, dalam persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar terutamanya disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ini bagi syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan besar dan meningkatkan keyakinan pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi jangka pendek.

“Dengan langkah-langkah yang akan dimaklumkan pada masa terdekat ini, kerajaan yakin Malaysia mampu berada dalam persiapan yang kukuh untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang semakin mencabar ini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun 2020, sebaliknya pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2021 diunjurkan lebih baik berdasarkan langkah-langkah pemulihan ekonomi dalam negeri dan ekonomi global di masa akan datang,” katanya.

Katanya, dari segi permintaan, pertumbuhan ekonomi disokong oleh perbelanjaan kerajaan dan isi rumah, manakala dari sudut penawaran, pertumbuhan KDNK didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Bagaimanapun, sektor perlombongan, pembinaan dan pertanian mencatatkan pertumbuhan negatif, manakala kadar pengangguran berada di tahap 3.5 peratus dan kadar inflasi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada suku pertama 2020," katanya.

Tengku Zafrul berkata, persekitaran global menghadapi cabaran dari segi pertumbuhan ekonomi, penguncupan permintaan serta gangguan rantaian bekalan.

“Malaysia tidak terkecuali dari terkesan situasi global ini dan usaha pemulihan ekonomi akan mengambil masa.

“Kerajaan sudah pun melaksanakan strateginya yang terdiri daripada enam pendekatan (6R) dan negara kini berada di tahap ketiga, iaitu menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal,” katanya.

Menurutnya, pakej rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion serta dasar monetari yang akomodatif membantu melegakan kekangan ekonomi yang dialami sejak beberapa bulan lalu.

“Sehubungan itu, perkembangan ekonomi seterusnya perlu diimbangi dengan kepentingan kesihatan awam dan penjanaan semula ekonomi yang teratur dan selamat,” katanya. - Bernama