X

Kindly register in order to view this article
!

Teruja sambut raya dalam rumah bersih

Fauzi (kiri) bersama tiga anaknya di rumah mereka di Lundang, disini.
A
A

KOTA BHARU - Tiga beradik bersama bapanya yang juga orang kurang upaya (OKU) bersyukur dan teruja apabila tahun ini mereka dapat beraya dalam rumah yang bersih dan terurus.

Nurul Syafikah Fauzi, 11, bersama adiknya, Nurul Natasha, 10, Mohd Fitri Syawal, 8, dan bapa mereka, Fauzi Hassan, 51, menjalani kehidupan serba kekurangan tanpa kasih sayang ibunya sejak tiga tahun lalu.

Nurul Syafikah berkata, sejak ibunya dihantar pulang ke Indonesia tiga tahun lalu, dia tiga beradik dijaga oleh bapanya yang bekerja sebagai penjaja.

"Sejak mak dihantar pulang ke Indonesia, tiada siapa lagi yang boleh masak sedap-sedap. Rumah pun bersepah sebab kami masih kecil, tidak pandai untuk uruskan rumah macam mak dulu.

"Alhamdulillah dan terima kasih hari ini rumah kami sudah dibersihkan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Anggota bomba terlibat dalam misi bantuan Ramadan bersama sukarelawan hari ini.
Anggota bomba terlibat dalam misi bantuan Ramadan bersama sukarelawan hari ini.

Terdahulu, sepasukan sukarelawan terdiri daripada pengamal media dari Berita Harian, Sinar Harian dan Astro Awani tampil membantu keluarga tersebut untuk membersihkan kediaman mereka yang ditimbuni barangan yang tidak digunakan.

Aktiviti amal sempena Ramadan itu turut mendapat kerjasama daripada empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Balai Kota Bharu).

Fauzi ketika ditemui berkata, walaupun isterinya tidak boleh pulang ke Malaysia disebabkan masalah dokumentasi, namun dia yakin satu hari nanti mereka sekeluarga akan bersatu kembali.

"Nak buat macam mana, saya tawakal saja jaga anak-anak dalam keadaan status saya sebagai OKU cacat kaki kanan.

"Apa pun saya terima kasih pada semua sukarelawan yang bantu bersih rumah saya hari ini. Saya tahu terima kasih tidak cukup untuk bayar penat lelah semua pihak," katanya.

Sukarelawan membantu memilih pakaian yang diberi orang ramai yang masih diperlukan keluarga itu.
Sukarelawan membantu memilih pakaian yang diberi orang ramai yang masih diperlukan keluarga itu.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, wakil sukarelawan, Vivi Sumanti dari Astro Awani memberitahu, inisiatif tersebut dilakukan bagi meringankan beban Fauzi sebagai seorang bapa OKU membersihkan kediaman mereka yang tidak terurus sejak ketiadaan isterinya.

"Saya juga berterima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir dan mereka yang menyumbang dana untuk kita belikan barangan gantian untuk kediaman Fauzi. Insya-ALLAH, kita sentiasa turun padang bantu mereka yang memerlukan,"katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus