X

Kindly register in order to view this article
!

160 kilang cemar sungai semasa PKP dikenakan tindakan

TUAN IBRAHIM - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 160 kilang telah diambil tindakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan pencemaran sungai.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil termasuklah kompaun, gantung operasi dan sebagainya.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP selama dua bulan itu, dua pencemaran sungai dalam skala yang besar telah dikesan.

"Kedua-dua kilang tersebut iaitu kilang menjalankan operasi pembuatan sarung tangan getah dan pemprosesan kelapa sawit telah diambil tindakan termasuklah gantung operasi selama dua minggu dan denda.

"Walaupun kita tahu pembuatan sarung tangan getah dalam tempoh wabak koronavirus (Covid-19) ini sangat diperlukan di seluruh dunia tetapi kita tetap tidak berkompromi dengan mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar terutamanya sumber air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan Ops Air Raya di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, selain pencemaran sungai, pihaknya juga turut memantau pencemaran udara.

"Kita juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan kes pembakaran terbuka yang berlaku ketika musim kemarau beberapa minggu lalu.

"Selain itu, tindakan pantas petugas kita yang bertindak segera selepas menerima laporan dapat menangani kebakaran hutan yang lebih teruk," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus