X

Kindly register in order to view this article
!

Notis prosiding komital terhadap Lokman Noor sah

Foto fail Lokman Adam
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini gagal sekali lagi untuk mengetepikan kebenaran diperoleh oleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

Prosiding komital itu berikutan Lokman Noor didakwa mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara menolak rayuan Lokman Noor dan berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu tanpa mewajarkan intervensi mahkamahnya.

Beliau berkata, panel berpandangan bahawa notis untuk menunjukkan bukti berhubung prosiding komital itu telah dinyatakan dengan penjelasan dan butiran seperti tercatat dalam afidavit.

“Notis itu cukup untuk perayu (Lokman Noor). Oleh itu, kami menolak rayuan tersebut,” kata hakim Yaccob yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding komital: Mahkamah tolak permohonan Lokman Adam

Panel tersebut membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang bertindak bagi pihak Peguam Negara.

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan kepada panel bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 14 Januari lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, menolak permohonan Lokman Noor itu selepas berpendapat kenyataan oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman Noor).

Pada 22 Oktober tahun lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September tahun lalu.

Thomas, 68, yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletak jawatan pada 29 Februari lalu.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Menurut Thomas, pada 25 September tahun lalu, Lokman Noor dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin iaitu bekas Pegawai Khas Najib kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pada hari yang sama, Lokman Noor telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Menurut Thomas, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus