Lelaki ditemui mati di Rompin disahkan positif Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki tempatan yang ditemui mati di Rompin, Pahang disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu disahkan menerusi keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat semalam.

"Kes ini di bawah siasatan polis dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenal pasti dan masih di dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan turut merekodkan satu lagi kematian berkaitan Covid-19.

"Kes kematian ke-111 melibatkan lelaki berumur 90 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi serta penyakit kronik pernafasan.

"Dia telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April dan disahkan meninggal dunia jam 10.36 pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, pertambahan dua kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 111 kes.

"Ia adalah bersamaan dengan 1.64 daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 58 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Oleh itu jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 5,281 kes bersamaan dengan 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu katanya, terdapat 37, kes baharu dilaporkan termasuk 21 kes melibatkan bukan warganegara.

"Ingin dimaklumkan juga daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import dan 33 kes penularan tempatan. Oleh itu, jumlah positif Covid-19 adalah 6,779 kes dengan hanya 1,387 pesakit yang masih dirawat di hospital," katanya.

Tambahnya, seramai 16 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi.

"Daripada jumlah itu, empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.