Kerajaan teliti isu kenaikan kadar tambang pengangkutan awam

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan meneliti penyelesaian terbaik berhubung rungutan daripada pengguna dan masalah yang dihadapi oleh pengusaha pengangkutan awam disebabkan kenaikan kadar tambang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa sekarang pengusaha pengangkutan awam terpaksa mengurangkan separuh daripada kapasiti penumpang kerana arahan mengamalkan penjarakan sosial.

"Kementerian Pengangkutan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri memaklumkan bahawa tambang penerbangan ke London bagi kelas ekonomi kini naik sekali ganda daripada harga sebenar.

"Kementerian tersebut akan melihat perkara ini supaya tidak ada kerugian kepada pengusaha. Mereka akan bawa cadangan berkaitan perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) di sini hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai pengusaha bas sekolah yang meminta bayaran daripada ibu bapa walaupun sesi persekolahan belum dibuka sejak Mac lalu, beliau berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Situasi pengusaha bas sekolah dengan pengangkutan awam cukup berbeza kerana mereka tidak memberikan sebarang khidmat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akan tetapi bagi pengusaha pengangkutan awam, mereka terpaksa mengurangkan separuh kapasiti penumpang," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan membuat keputusan bahawa bas sekolah boleh dijadikan sebagai bas kilang buat sementara waktu bagi menampung keperluan menghantar pekerja.

"Kalau dahulu mereka menghantar pekerja dalam kapasiti penuh, sekarang perlu ada penjarakan sosial. Mereka tidak mempunyai cukup bas untuk menghantar pekerja buat masa sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha bas sekolah bolehlah mengadakan perbincangan dan persetujuan dengan pihak berkaitan," katanya.