Keluar BN, tiada ruang untuk kembali: Ku Li

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan tiada ruang kembali bagi mana-mana Ahli Parlimen BN yang bertindak keluar parti.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, pandangan akar umbi turut diambil kira dalam situasi ini di mana mereka tidak bersetuju untuk memberikan peluang kepada pemimpin terbabit.

Biarpun ada pihak yang memberi saranan agar permohonan enam Ahli Parlimen itu dipertimbangkan semula, namun Tengku Razaleigh berkata, sebaiknya perkara itu tidak berlaku.

"Orang yang dah keluar, keluarlah. Tak payah masuk dah. Rasanya BN atau Umno tak perlu terima lagi orang sedemikian.

"Ini bukan suka-suka, ini perjuangan. Bukan ikut suka nak masuk, nak keluar. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini ramai tak setuju mereka diterima semula.

"Walaupun ada yang minta pertimbangkan, tapi ramai yang menentang termasuk Pemuda Umno," katanya selepas pertemuan bersama pemimpin Orang Asli di Bilik Mesyuarat Bukit Cekati, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim, Naib Ketua, Ab Aziz Yusoff dan Ketua Penerangan, Amran Arifin.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan parti itu ada membincangkan mengenai enam Ahli Parlimen BN yang memohon untuk kembali menyertai parti itu.

Annuar berkata, bagaimanapun setakat ini tiada keputusan yang khusus dibuat mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan sehingga kini, ia hanya cakap-cakap tetapi belum ada di antara mereka yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai Umno.