Tergamaknya campak bayi sendiri dari tingkat empat!

Bayi perempuan ditemui dalam keadaan berdarah, namun masih bernafas.
Bayi perempuan ditemui dalam keadaan berdarah, namun masih bernafas.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang remaja tergamak mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga dan disebabkan panik dia mengambil keputusan mencampak bayi berkenaan melalui balkoni.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, salah seorang penduduk di perumahan berkenaan terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh ke atas atap rumahnya di tingkat atas.

Menurutnya, dia yang curiga dengan bunyi dentuman itu membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah sebelum menemui beg di bahagian belakang flat terbabit.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui bayi perempuan dalam keadaan berdarah, namun masih bernyawa.

"Bagaimanapun terdapat kesan luka di kepala bayi berkenaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Petugas kesihatan memberi rawatan awal pada bayi yang ditemui.
Petugas kesihatan memberi rawatan awal pada bayi yang ditemui.

Anbalagan berkata, hasil siasatan dan maklumat penduduk polis berjaya menahan remaja terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak lama kemudian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian ibu bapa remaja terbabit tiada di rumah dan kini berada di Kelantan manakala dua adik-beradik yang tinggal bersamanya tidak menyedari kejadian itu.

Beliau berkata, suspek merahsiakan mengenai kandungannya itu daripada ahli keluarganya dan mendedahkan bapa kepada bayi ini merupakan teman lelakinya yang berumur 18 tahun.

"Pasukan forensik telah menjalankan siasatan di tempat kejadian bayi berkenaan dijumpai dan rumah suspek untuk mengambil beberapa sampel darah serta pakaian untuk analisa Jabatan Kimia.

"Bayi dan remaja berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.