Fungsi SPR tidak terjejas

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun (kanan) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Pengurus Pilihan Raya kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun (kanan) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Pengurus Pilihan Raya kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini di Menara SPR hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun menegaskan fungsi suruhanjaya tersebut tidak terjejas meskipun SPR kini hanya mempunyai pengerusi sahaja, tiada ahli lain.

Menurut beliau, Pengerusi SPR masih boleh berfungsi meskipun hanya tinggal dirinya seorang malah segala keputusan dibuat adalah sah dan dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

“SPR ingin menegaskan bahawa fungsinya buat masa ini yang hanya mempunyai pengerusi sahaja tidak terjejas dari segi perundangan kerana segala tindakan yang dibuat telah mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga selaras serta mengikut nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember 2018.

“Untuk penjelasan lanjut, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 114(7),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, fungsi dilaksanakan Pengerusi SPR adalah fungsi SPR dan ia wajar dijalankan secara kolektif sekiranya tidak berlaku kekosongan disebebkan kehendak undang-undang.

“Memandangkan kekosongan enam anggota SPR buat masa ini merupakan kekosongan di bawah perundangan, maka Pengerusi SPR dalam keadaan sedemikian boleh melaksanakan fungsi-fungsi SPR.

“Perkara 114(1) dan Perkara 114(7) Perlembagaan Persekutuan ini juga harus dibaca bersama dengan Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Ia dengan jelas menyatakan bahawa ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat pada masa itu,” jelasnya.

Katanya lagi, pandangan undang-undang juga telah dirujuk dalam kes antara Peguam Negara dan Nurul Izzah Anwar.

“Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan SPR dibolehkan untuk wujud dan berfungsi secara sah walaupun dalam keadaan di mana kurang daripada tujuh Ahli Suruhanjaya dan dalam keadaaan di mana berlakunya kekosongan.

“Dengan ini kuasa dan prosiding SPR secara sahnya tidak terkesan dengan apa-apa bilangan kekosongan yang berlaku,” ujarnya.

Justeru, tegasnya, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan, Pengerusi SPR masih boleh berfungsi walaupun dalam keadaan seperti sekarang yang hanya tinggal pengerusi seorang.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab kenyataa Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kewujudan SPR di sisi Perlembagaan berikutan suruhanjaya itu hanya mempunyai pengerusi.