Padah hati anak terbeban

Elak kesilapan ibu bapa mendidik zuriat

No Image Caption
A
A
A
Ramai kalangan ibu bapa zaman kini mengeluh dengan karenah anak yang mendahului orang lain berbanding keluarga sendiri. Sinar Live Resolusi Keluarga 1440H Siri 5 bertajuk “Padah hati anak terbeban” memberi kupasan yang disampaikan oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Kamaluddin bersama moderator Haslina Kamaluddin.

ALLAH SWT berfirman: “Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Furqan: 74)

Safri berkata, melalui Kalam Ilahi tersebut, ini menunjukkan semua ibu bapa mahukan anak yang menjadi penyejuk mata, kebahagiaan dan ketenangan.

“Ada masa kedua orang tua membebankan fikiran dan hati anak. Ini menyebabkan si anak menjauhkan diri daripada ibu bapa, dan kekadang lebih selesa bersama kawan atau orang luar.

“Kita perlu memohon kepada ALLAH agar dikurniakan pasangan dan zuriat yang menjadi orang soleh. Namun ada ibu bapa yang bersedih melihat anak yang bermasalah sehingga membawa padah. Apakah padah dan kesalahan tersebut diletakkan anak atau ibu ayah?”

Rasulullah SAW bersabda: “Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Safri berkata, hadis tersebut tidak menyebut Islam, selain Nasrani, Yahudi dan Majusi. Ini kerana fitrah anak yang dilahirkan adalah Islam. Oleh itu peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak untuk menjadi baik atau sebaliknya.

“Dalam kehidupan, anak kita akan dicorakkan dalam lingkungan persekitaran. Jika ibu bapa tidak mengambil berat mengenai anak mereka, maka anak mudah terdedah dengan unsur negatif.

“Anak yang sudah besar tetapi akhlaknya kekadang tidak mengikut apa yang dikehendaki oleh ALLAH dan Rasulullah SAW. Dengan itu, ibu bapa perlu membersihkan jiwa dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah.”

Artikel Berkaitan:

Daripada Ali bin Abi Talib RA, Rasulullah SAW bersabda: “Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara: Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta membaca al-Quran, sesungguhnya para pembaca al-Quran itu berada di bawah naungan Arasy ALLAH pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama para Nabi-Nya dan hamba-hamba-Nya yang terpilih.” (Riwayat At-Thabrani)

Safri berkata, untuk menanamkan rasa cintakan Rasulullah SAW, ibu bapa perlu rajin bercerita kisah sejarah Baginda SAW kepada anak. Apabila si anak menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola, dia mampu mengenepikan orang lain untuk bertahta di hati mereka.

“Seterusnya, kita mencontohi keluarga Rasulullah SAW dengan melakukan segala sesuatu berlandaskan al-Quran dan Hadis. Tanamkan rasa cinta kepada ALLAH dan mencontohi akhlak Rasulullah kepada anak.

“Apabila ibu bapa mampu mempersiapkan anak ke jalan ALLAH, maka dia tidak akan mudah menyeleweng dan tetap berada di jalan ILAHI,” katanya.

Sinar Live Resolusi Keluarga 1440H Siri 5 bertajuk “Padah hati anak terbeban”, boleh dilayari https://www.youtube.com/watch?v=92DR6r6cjwc&t=221s.